BN khianati ahli, pengundi Melayu kerjasama dengan PH, kata Wan Fayhsal

0
231

BARISAN Nasional (BN) mengkhianati ahlinya dan pengundi Melayu apabila bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), kata Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Dalam wawancara bersama BBK Network, beliau mendakwa perbincangan antara kedua-dua gabungan itu telah berlangsung sejak 2020.

“Mereka panggil diri mereka pelindung kepentingan orang Melayu, (mendakwa) perjuangan mereka adalah untuk orang Melayu dan Bumiputera. Pada perhimpunan agung, mereka kata, ‘Tolak Anwar, Tolak DAP’, dan orang Melayu percaya.

“Sejujurnya, ramai orang tidak menjangkakannya (kerjasama antara BN dan PH), tetapi bukan kami. Ia benar-benar berlaku. Rundingan itu berlangsung sejak 2020,” katanya.

Ditanya mengapa pengundi Melayu kini memihak kepada Perikatan Nasional (PN) berbanding gabungan lain, seperti yang ditunjukkan dalam keputusan PRU baru-baru ini, Wan Fayhsal berkata, ia disebabkan sokongan kepada kempen PN untuk kerajaan yang “lebih bersih”.

“Masalah rasuah, seperti yang kita semua tahu, lebih banyak berlaku dalam BN, seperti kita lihat banyak kes mahkamah (melibatkan pemimpin BN),” katanya.

Beliau berkata, PN tidak boleh menerima ideologi yang “bertentangan dengan asas falsafah politik Melayu”.

Sebagai contoh, beliau merujuk kepada perkembangan seperti deklarasi Setapak yang meminta pembangkang mengasingkan rakyat kepada golongan “Bumiputera” dan “bukan Bumiputera”.

Wan Fayhsal juga menolak dakwaan bahawa PN merancang satu lagi Gerakan Sheraton.

“Tidak salah untuk kami, sebagai pembangkang, berkata (kami bersedia untuk mengambil alih kerajaan),” katanya merujuk kepada kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin di Parlimen.

“Terdapat undang-undang anti-lompat, (jadi) anda tidak boleh ubah keadaan. Itu bagus, bukan? Ia memberi kita semacam kestabilan, tetapi, dalam politik, ia adalah seni mustahil.

“(Contohnya), jika UMNO ada presiden baharu dan beliau memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan kerajaan, bukankah itu akan menyebabkan kerajaan tumbang? Ya. Adakah ia mematuhi perlembagaan? Ya. Adakah ia sah di sisi undang-undang? Ya,” katanya lapor FMT.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here