Bicara kes rasuah Zahid dijadual semula bermula April

0
187

PERBICARAAN kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi yang diasaskannya dijadualkan semula selama 27 hari bermula 10 April ini.

Pada November tahun lalu, Mahkamah Tinggi menetapkan sepanjang minggu ini bagi Ahmad Zahid membela diri terhadap 47 pertuduhan, iaitu 12 kes pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram.

Ahmad Zahid membuat kemunculan pertama sebagai Timbalan Perdana Menteri di mahkamah hari ini, selepas dilantik semula memegang jawatan itu pada 3 Disember tahun lalu bersama-sama Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Fadillah Yusof.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, turut dilantik sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Di awal prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran yang mengetuai pasukan pendakwaan turut menarik perhatian mahkamah dengan merujuk Ahmad Zahid sebagai timbalan perdana menteri ketika kes itu disebut.

“Tertuduh atau lebih tepat saya katakan sebagai timbalan perdana menteri berada dalam kandang tertuduh hari ini bagi sebutan kes untuk menetapkan tarikh perbicaraan tambahan bagi membela diri.

“Tarikh yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak ialah 12 hingga 15 Jun dan 24 hingga 27 Julai disusuli pada 1 hingga 3, 7 hingga 10 dan 21 hingga 24 Ogos.

“Tarikh yang sudah ditetapkan sebelum ini pada 10 hingga 13 April dan 15 hingga 18 Mei dengan ini dikekalkan,” katanya lapor BH.

Presiden UMNO itu diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Ahmad Zaidi Zainal.

Ahmad Zahid, 70, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here