Tanda nama kerusi ‘hilang’ timbul persoalan kalangan perwakilan Umno

‘PENANGGALAN’ tanda nama pada kerusi-kerusi perwakilan di dewan persidangan Perhimpunan Agung Umno (PAU) mencetuskan persoalan mengenai kewajaran berbuat demikian, sebelum pungutan suara dibuat berhubung pertandingan jawatan tertinggi parti.

Petang ini akan menyaksikan Umno menentukan sama ada jawatan presiden dan timbalan presiden akan dipertandingkan pada pemilihan Mei ini.

Anggota perwakilan yang ditemui FMT bimbang ketiadaan tanda nama ini akan memberi kesan tidak baik apabila pengundian dijalankan nanti, dijangka sebelum 3 petang ini.

“Semua ‘tagging’ untuk bahagian dah kena tanggal,” kata seorang pemimpin Umno negeri, yang meminta tidak dinamakan, lapor FMT.

Pemilihan presiden dan timbalan presiden Umno menimbulkan polemik apabila pemimpin parti mempunyai pandangan berbeza sama ada ia perlu dipertandingkan atau tidak.

Dalam kalangan perwakilan, beberapa negeri mencadangkan jawatan “top two” parti dipertandingkan, manakala beberapa negeri menolak cadangan seperti itu.

Semalam, usul tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden disorak dengan “boo” oleh segelintir perwakilan.

Sementara itu, Ketua Penerangan Isham Jalil enggan mengulas apa yang disifatkan beliau sebagai khabar angin.

Seorang wakil dari Johor yang minta tidak dinamakan berkata para perwakilan tidak faham kenapa tanda nama ditanggalkan.

“Sebelum ini tak pernah ditanggalkan sehingga habis perhimpunan agung,” katanya kepada FMT, dan menambah lazimnya hanya perwakilan dibenarkan masuk ke dalam dewan.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Umno Setiawangsa Irwan Rizal berkata isu itu harus dijelaskan kerana parti mesti elakkan mengundang persepsi tidak baik, terutama terhadap penganjuran perhimpunan agung parti itu sendiri.

“Situasi ini akan memberi kesan kepada imej Umno. Umno akan dilihat semakin negatif, tidak telus, dan pelbagai persepsi buruk akan timbul lagi. Ini sepatutnya yang kita perlu elakkan. Paling penting pengurusan penganjuran PAU tidak cekap,” katanya.