SALAH seorang Ahli Parlimen yang dinamakan menandatangani akuan berkanun (SD) yang didedahkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tampil membuat penjelasan berhubung isu tersebut.
MP Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias menyifatkan langkah menandatangani SD menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak boleh dianggap sebagai satu pengkhianatandan menjelaskan langkah tersebut sebagai mengikut naratif parti.
“Mengenai 10 Ahli Parlimen termasuk saya (menyokong Muhyiddin), ketika itu kita buat satu keputusan berdasarkan naratif parti. Apabila parti buat keputusan akhir untuk menerima kerajaan perpaduan, maka yang 10 itu menarik diri dengan membatalkan SD dan mengikut keputusan parti.
“Saya tidak fikir itu satu perkara yang membelakangkan parti atau boleh dikatakan mengkhianati parti.
“Khianat kepada parti ialah kita bersama dengan parti pembangkang untuk mengalahkan calon BN ketika kita menghadapi PRU15. Itu khianat kepada parti.
“Ketika kita menghadapi PRU15, kita berusaha sebaik mungkin untuk menangkan BN. Saya bertanding atas BN. Apabila parti buat keputusan, kita akur,” katanya dipetik laporan BH hari ini.
Semalam, Presiden UMNO dilaporkan mendedahkan 10 Ahli Parlimen BN termasuk daripada UMNO menandatangani SD menyokong pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Selain Jalaluddin, mereka adalah Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup; Datuk Adnan Abu Hassan (Kuala Pilah); Datuk Shamshulkahar Deli (Jempol); Hasni Mohammad (Simpang Renggam); Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (Lipis); Datuk Isam Isa (Tampin); Datuk Seri M Saravanan (Tapah), Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (Ayer Itam) dan Datuk Seri Wee Jack Seng (Tanjong Piai).
Pendedahan itu dibuat Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, ketika berucap pada sesi taklimat khas Presiden UMNO yang diadakan secara tertutup sempena Persidangan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) di WTC Kuala Lumpur.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.