Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
PEMUDA UMNO mendesak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengambil tindakan segera terhadap semua petisyen pilihan raya umum (PRU) yang telah dikemukakan mengenai salah laku sogokan wang.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, malah terdapat video yang membuktikan amalan merasuah pengundi dengan menggunakan nama Allah.
Selain itu, beliau berkata, Pemuda UMNO mengucapkan syabas kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mula mengambil tindakan menangkap suspek yang terlibat dalam kes penyelewengan RM92.5 bilion pakej rangsangan.
Dr. Asyraf berkata, pakej berkenaan yang diluluskan dalam tempoh darurat dan difahamkan selepas ini lebih ramai lagi yang akan ditahan dan diambil tindakan.
“Ini mengesahkan lagi kesangsian kita selama ini bahawa kemungkinan berbilion-bilion duit rakyat disakau melalui projek-projek rundingan terus yang diluluskan dalam tempoh darurat kerajaan Perikatan Nasional (PN) terdahulu.
“Barangkali mungkin sebab itu jugalah ada parti yang selama ini bersandiwara dengan mengutip duit syiling untuk memasang bendera, kini boleh berkempen dengan berbelanja mewah sehingga ratusan ringgit dibayar kepada pengundi luar dan mahasiswa!
“Barangkali mungkin sebab itu juga ada parti yang baru setahun jagung ditubuh, tiba-tiba begitu mewah dalam berkempen sehingga mampu berbelanja jutaan ringgit bagi menyogok pengundi muda dan pengundi kali pertama.
“Namun, jangan sesekali lupa akan aturan Allah SWT. Menang banyak pun belum tentu boleh menjadi kerajaan. Percayalah kepada prinsip keberkatan! Kemenangan yang diperoleh dengan cara yang salah dan tidak diredhai tuhan, belum tentu memberikan natijah kebaikan
yang berkekalan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung Perg rakan Pemuda UMNO 2022 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Kuala Lumpur hari ini.
Katanya, sesungguhnya kekalahan dalam kemulian lebih baik daripada kejayaan dalam kehinaan.
“Jangan di mulut sahaja melaung-laungkan Islam, tetapi perbuatannya kufur nikmat dan melanggar aturan Tuhan,” ujarnya.
Justeru katanya, Pemuda UMNO menggesa agar pihak SPRM dan Peguam Negara terus memburu dan segera mendakwa mereka yang disyaki terlibat dalam rasuah dan penyelewengan berbilion-bilion wang rakyat.
Dr. Asyraf mengingatkan supaya tidak ada lagi pendakwaan pilih kasih atau pendakwaan politik terpilih sehingga ramai yang menjadi mangsa penganiayaan, penghinaan dan dimalukan bertahun-tahun lamanya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.