PUTERI UMNO mengingatkan ahli mencontohi parti lawan yang tidak terlalu ghairah menjatuhkan pemimpin mereka walaupun beberapa kali tewas dalam pilihan raya.
Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, ini kerana ketika ini wujud gerakan supaya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan selepas parti itu kalah teruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Lihatlah dalam kalangan mereka berapa kali mereka kalah pilihan raya tetapi mereka tidak mendesak presiden mereka turun. Kita tidak mahu dilihat seperti ketam di dalam baldi. Apabila ada seekor ketam yang naik ke atas, ketam-ketam lain menarik supaya jatuh ke bawah.
“Kita sepatutnya sama-sama mencari jalan mendukung pemimpin kita menjadi lebih kuat bukan melemahkannya. Apa-apa tindakan yang boleh lemahkan parti mesti kita elakkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada hari kedua Perhimpunan Agung Sayap UMNO, di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Beliau berkata, parti lawan sentiasa dilihat kuat dan kukuh apabila sering bangkit mempertahankan pemimpin mereka walaupun diserang pihak lawan dengan pelbagai tomahan.
“Kekuatan mereka pula walau apapun tohmahan dilemparkan kepada pemimpin mereka, mereka tetap mempertahankan pemimpin yang mereka pilih. Kelemahan kita pula sekiranya pemimpin kita diserang ramai pula kalangan kita turut mencari jalan merebahkan pemimpin kita. Prinsip mempertahankan institusi presiden jauh sekali ada dalam kalangan kita.
“Kelemahan kita, kita tak cukup pandai mencari keburukan pemimpin mereka dan menghina hingga ke tahap paling rendah. Apatah lagi membina naratif pembunuhan karakter dan mencipta fitnah. UMNO hanyalah kilang melahirkan pemimpin khidmat dan pembangunan. Kita gagal melahirkan penembak tepat, penabur fitnah dan pembunuh karakter mereka satu-persatu,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa akademi atau institut UMNO perlu ditubuhkan segera kerana cadangan itu sudah lama diutarakan namun ia belum dilaksanakan.
Katanya, langkah itu bagi melahirkan lebih ramai penyumbang idea baharu yang bernas datangnya daripada Umno.
“Ini bukan idea baharu. Sudah lama diperkatakan dan sudah ramai dipertanggungjawabkan namun hingga kini belum berjalan.
“Sebab apa? Sebab masih ramai menganggap kepimpinan UMNO hanya datang secara semulajadi, hasil lonjakan dari sistem lama kita yang semakin lama pasti akan menjadi lapuk dan tidak sesuai lagi untuk masa akan datang,” katanya, lapor Free Malaysia Today (FMT).
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.