Polis buru dua lelaki terlibat dalam kejadian gaduh sehingga sebabkan kematian di Kapar

0
184

POLIS kini memburu dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian pergaduhan sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki di Taman Intan, Kapar, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada pukul 2.04 pagi.

Beliau berkata, pengadu mendakwa berlaku pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki di lokasi kejadian.

“Sepasukan anggota Ronda Cegah Jenayah tiba di lokasi kejadian dan mendapati seorang lelaki India terbaring di atas jalan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Jelasnya, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada pergaduhan dua kumpulan remaja dan mangsa telah ditetak dengan menggunakan senjata tajam.

“Polis telah mengenal pasti dua suspek utama berbangsa India berumur 20-an dan usaha mengesan suspek kini dijalankan,” ujarnya, lapor Utusan TV.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Hanis di talian 019-9099763.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here