SERAMAI 25,000 mangsa banjir yang terjejas bencana itu di seluruh negara menerima manfaat daripada Misi Bantuan Bencana Banjir Malaysian Relief Agency (MRA) melibatkan bantuan keseluruhan bernilai RM372,157.
Presiden MRA,Dr Mohd Daud Sulaiman berkata, Misi Bantuan Bencana Banjir MRA telah mula dilaksanakan sejak 18 Oktober lalu di 111 buah lokasi yang terjejas teruk.
“Antara negeri yang terjejas paling teruk adalah Kelantan dan Terengganu di mana jumlah nilai bantuan tertinggi telah dicatatkan diikuti beberapa negeri lain yang turut mengalami banjir seperti negeri Kedah, Perak, Johor, Melaka, Selangor dan Sabah.
“Setakat ini, sebanyak 3,809 bakul makanan, 410 makanan siap dimasak, 1,834 pek kebersihan, 98 pek keperluan bayi dan 1,110 pakaian telah diagihkan kepada mangsa banjir yang berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) serta di lokasi lain yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Daud berkata, MRA turut menggerakkan bantuan perubatan kepada mangsa banjir melalui Klinik Bergerak untuk memberikan rawatan kesihatan dari rumah ke rumah dan juga khidmat kaunseling Psychological First Aid (PFA) kepada mangsa banjir.
“Di samping itu juga, perkhidmatan membaiki kerosakan kenderaan bermotor dan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan masjid serta kediaman yang terkesan dengan banjir turut diadakan.
“Bagi menghadapi kemungkinan gelombang kedua bencana banjir, MRA sentiasa bersiapsiaga dan akan memperkukuhkan lagi jaringan kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi membantu rakyat Malaysia menghadapi musibah banjir.
“MRA turut menzahirkan penghargaan dan jutaan terima kasih kepada seluruh rakan kerjasama serta para penyumbang yang sentiasa menyokong usaha MRA menyantuni mereka yang terkesan dengan bencana,” katanya.

Sementara itu, Mohd Daud berkata, MRA amat mengalu-alukan sumbangan rakyat Malaysia untuk ‘Tabung Bantuan Banjir MRA’ bagi membantu mangsa banjir yang terjejas teruk.
Katanya, sumbangan rakyat Malaysia boleh dibuat menerusi akaun Maybank Malaysian Relief Agency (acc no: 5640 9820 6365) atau layari laman rasmi Malaysian Relief Agency www.mra.my dan Facebook untuk maklumat lebih lanjut.
Beliau menambah, untuk maklumat lanjut mengenai program yang dijalankan oleh MRA boleh hubungi 03-9174 4672 atau layari laman web rasmi MRA di www.mra.my.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.