KPI semasa menteri Kerajaan Perpaduan ke ‘laut’

0
191

Oleh Tok Chey

PERDANA Menteri, Anwar Ibrahim ketika lawatan rasmi ke Indonesia berkata akan menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) bagi setiap menteri Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Bagaimana pun, katanya perkara berkenaan akan dibincangkan terlebih dahulu dalam satu program pemukiman yang akan dihadiri barisan Kabinet pada minggu depan.

Mungkin selepas pertemuan itu, kita akan dapat mengetahui dengan lebih terperinci KPI setiap menteri dan tempoh masa diberikan Anwar dalam menilai setiap menteri-menterinya.

Selepas lebih sebulan menjadi kerajaan, pada penilaian Tok Chey kerajaan dan menteri-menteri kabinet ketika ini bukan sahaja tidak mencapai KPI yang diharapkan rakyat, malah gagal menyelesaikan isu kos sara hidup rakyat yang mereka sendiri kritik ketika menjadi pembangkang.

Contoh paling hampir ialah strategi untuk menstabilkan bekalan dan harga telur yang pada ketika ini belum menampakkan sebarang petanda akan berjaya.

Keputusan kerajaan untuk mengimport telur dari India bagi menstabilkan harga dan bekalan juga dilihat seperti tidak berjaya kerana telur yang diimport lebih mahal daripada telur tempatan.

Bahkan tindakan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mat Sabu yang sanggup ke Tamil Nadu, India untuk meninjau bekalan telur India disindir pemimpin MCA, Wee Ka Siong yang juga rakan kerjasama kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Apa yang Tok Chey faham daripada sindiran bekas Menteri Pengangkutan itu ialah pendekatan Mat Sabu membuka pekung bahawa kerajaan mengambil langkah yang tidak tepat dalam menyelesaikan masalah bekalan telur.

Maka, selagi masalah ini belum selesai maka berapakah markah KPI bulanan yang sesuai diberikan kepada Mat Sabu?

Contoh kedua ialah isu yang mula dibangkitkan ibu bapa yang mempunyai anak-anak di bangku sekolah apabila mereka terpaksa mengeluarkan duit poket yang lebih.

Seperti yang dilaporkan, pihak kantin sekolah tidak lagi mampu menyerap impak kenaikan harga bahan mentah dan mereka terpaksa menaikkan harga makanan yang dijual di kantin.

Dari satu sudut, kerajaan perlu prihatin dengan nasib pengusaha kantin tetapi pada masa sama bebanan ditanggung ibu bapa juga perlu diberi perhatian kerana mereka sudah terbeban dengan kos pengangkutan dan tadika anak-anak.

Jadi Tok Chey menanti apakah langkah yang akan diambil oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Salahuddin Ayub untuk melihat isu ini.

Satu lagi isu yang menjadi perhatian ialah pandangan pakar kewangan yang menjangkakan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang dijangka naik berturut-turut dalam masa terdekat.

Dari sudut ekonomi ialah dilihat cara berkesan untuk menangani inflasi yang menyebabkan kenaikan harga barang tetapi daripada pihak pengguna pula ia pasti membebankan kerana terpaksa mengeluarkan wang yang lebih untuk membayar pinjaman bank.

Menteri Kewangan yang dipegang Anwar sendiri perlu melihat kaedah lain selain menaikkan OPR kerana jika tidak, markah KPI Anwar juga akan tercorot kerana gagal untuk mencari solusi berkesan dalam menangani inflasi dan pada masa sama tidak membebankan rakyat.

Lagipun, Anwar dan kepimpinan pembangkang sebelum ini juga tidak pernah mengkritik Tengku Zafrul yang didakwanya mesra kepada sektor perbankan berbanding memikirkan beban yang perlu ditanggung rakyat.

Itu belum lagi isu-isu lain seperti khidmat kesihatan di hospital kerajaan, masalah infrastruktur seperti jalan raya yang rosak dan macam-macam lagi isu.

Rakyat masih memerhati sejauh mana keupayaan kerajaan menyelesaikan isu-isu itu dan jika masih tiada perubahan dengan markah KPI yang rendah, maka sudah pasti pimpinan PH akan ditolak rakyat selepas ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here