Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Istana Seri Kinabalu, Sri Gaya masih jadi tumpuan -

Istana Seri Kinabalu, Sri Gaya masih jadi tumpuan

ISTANA Seri Kinabalu dan kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya, Kota Kinabalu, hari ini masih menjadi tumpuan terutama buat pengamal media Sabah berikutan situasi politik ketika ini.

Pengamal media dilihat berkumpul seawal pukul 9 pagi di Istana Seri Kinabalu di Kota Kinabalu bagi memantau pergerakan pemimpin, namun sehingga berita ini ditulis tiada makluman rasmi untuk sebarang acara bagi liputan di istana itu.

Sri Gaya yang menjadi lokasi pertemuan pemimpin negeri terutama daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga dilihat menjadi tumpuan dengan pengamal media dijangka berkumpul bagi mengetahui situasi politik semasa negeri.

Semalam, Hajiji mendakwa beliau telah memperoleh sokongan 44 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah antaranya daripada GRS, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), justeru kerajaan Sabah masih kekal serta utuh, dan beliau masih Ketua Menteri pada masa ini.

Seramai 29 daripada 44 ADUN adalah daripada GRS manakala PH (7), BN (5), PAS (1), Parti Harapan Rakyat Sabah (1) dan Bebas (1).

Bagaimanapun, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin semalam menegaskan kerajaan Sabah pada masa ini sudah tiada dan jawatan Ketua Menteri disandang Hajiji sudah terlerai dengan tindakan BN Sabah menarik sokongan daripada kerajaan negeri pada Jumaat lepas.

Pada Sabtu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin Sabah bagi membincangkan isu politik negeri ini sebaik pulang daripada lawatan rasmi ke Indonesia dijadual hari ini. – Bernama