Bot penyelamat terdampar dipercayai milik kapal kargo China

SEBUAH bot penyelamat yang terdampar di Pantai Trombol, Kuching, sejak 4 Jan lalu dipercayai milik kapal kargo dari China.

Pengarah Maritim Sarawak Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata bot tersebut berkemungkinan milik kapal kargo MV Lider Express yang dilaporkan mengalami masalah teknikal semasa belayar di perairan Natuna, Indonesia.

Katanya pihak Maritim juga masih menunggu pengesahan mengenai perkara tersebut daripada pihak terlibat.

“Usaha memindahkan bot penyelamat tersebut telah dilakukan pihak Maritim dan Polis pada petang semalam namun terpaksa ditangguhkan akibat cuaca kurang baik serta laut bergelora dan akan diteruskan hari ini.

“Bot tersebut akan dipindahkan ke kawasan berdekatan di Telaga Air, Kuching untuk siasatan lanjut oleh pihak Maritim dan polis,” katanya dalam satu kenyataan di Kuching, Sarawak, hari ini.

— BERNAMA