4 PATI Thailand kendali bot tempatan ditahan

0
131

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan di perairan Pulau Kendi semalam kerana dikendalikan tekong dan kru warga asing yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot Maritim Malaysia memeriksa sebuah bot nelayan tempatan kelas C ketika melaksanakan rondaan Op Pertiwi sekitar pukul 4.30 petang.

Ujarnya, bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Hutan Melintang, Perak itu ditahan di kedudukan 28.1 kilometer barat daya Pulau Kendi.

”Hasil pemeriksaan mendapati, bot itu dikendalikan tekong warga Thailand dan empat kru warga Myanmar berumur antara 26 hingga 68 tahun yang kesemuanya tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah serta melanggar syarat sah lesen bot,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Abd. Razak, mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.

Sehubungan itu, tambahnya, bot serta kesemua kru ditahan termasuk hasil laut anggaran150 kilogram (kg) dibawa ke Jeti Limbong Batu Maung untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut.

Dalam pada itu ujar beliau, Maritim Malaysia mendapati masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang berdegil menggunakan pendatang tanpa izin (PATI) untuk bekerja di atas bot mereka walaupun tangkapan dan amaran telah diberikan sebelum ini.

“Sehubungan itu, Maritim Malaysia tidak akan teragak-agak mengambil tindakan lebih tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang sengaja melanggar undang-undang persekutuan di zon maritim Malaysia,” katanya.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut boleh segera menghubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here