Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Sabah perketat pemeriksaan, pengembara dari China perlu lengkap vaksin -

Sabah perketat pemeriksaan, pengembara dari China perlu lengkap vaksin

KERAJAAN negeri Sabah semalam menetapkan pengembara yang berlepas dari China perlu lengkap vaksinasi Covid-19 mengikut kriteria negara asal masing-masing sebelum memasuki negeri ini, berkuatkuasa 8 Jan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Masidi Manjun, berkata pengembara berkenaan juga perlu menunjukkan ujian Covid-19 (RT-PCR atau RTK Ag Professional) dengan keputusan negatif dalam tempoh 48 jam sebelum berlepas.

“Perkara itu diputuskan Jemaah Menteri Negeri Sabah yang bermesyuarat hari ini (semalam),” kata jurucakap Covid-19 kerajaan Sabah itu menerusi kenyataan malam tadi.

Masidi berkata kerajaan negeri juga menetapkan semua pengembara dari luar negara yang tiba di Sabah dikehendaki menjalani saringan suhu dan pengembara dikesan mempunyai simptom demam akan menjalani pemeriksaan lanjut.

“Pengembara yang mempunyai gejala Covid-19 wajib menjalani ujian RTK Antigen Covid-19,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 12 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah semalam manakala 138 pesakit masih menerima rawatan dengan 10 daripadanya memerlukan penjagaan kritikal dan 23 pesakit telah pulih.