Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Pasangan kekasih dituduh bunuh budak 4 tahun, kakak dituduh dera -

Pasangan kekasih dituduh bunuh budak 4 tahun, kakak dituduh dera

SEPASANG kekasih berusia 20 dan 16 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat pada Khamis atas pertuduhan bersama membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang dikenali sebagai Lokman.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohamad Izwan Mahmood, 25, dan gadis bawah umur itu telah membunuh kanak-kanak yang tidak mempunyai MyKid itu antara jam 8 pagi hingga 2 petang di Felda Semenchu Teluk Sengat Kota Tinggi, antara 10 hingga 23 Disember tahun lalu.

Dengan itu mereka telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Akta sama yang membawa hukuman mati, lapor BH Online.

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam mengangguk faham pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dan tiada sebarang rekod pengakuan diambil.

Dalam pada itu, di mahkamah yang sama, kakak kandung mangsa bunuh berkenaan, Nurul Natashah Danial @ Zainal, 20, tidak mengaku bersalah atas pertuduhan mendera adiknya itu di Jalan Kampung Sri Pantai, Senggarang di sini sekitar November hingga Disember tahun lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kanak-kanak lelaki itu, tertuduh telah menganiaya iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan jam lebih kurang 10 pagi hingga 10 malam pada tempoh berkenaan dan oleh yang demikian tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd Yunos tidak menawarkan sebarang jaminan untuk tertuduh.

Tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Dalam pada itu, Majistret Nurasidah A Rahman menetapkan tarikh 12 Januari ini supaya permohonan jaminan untuk anak guam Song Yan didengar di Mahkamah Sesyen Batu Pahat.

Terdahulu media melaporkan, kakak kepada budak lelaki berusia empat tahun yang maut, dipercayai didera di Senggarang, Batu Pahat pada Isnin minggu lalu antara tiga individu akan didakwa di mahkamah esok.

Semalam Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata polis sudah mendapat arahan daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk menuduh ketiga-tiga suspek berkenaan di Mahkamah Majistret Batu Pahat.