Dewan Ulama PAS seru kerajaan pusat contohi Kedah tamatkan operasi judi

0
190

DEWAN Ulama PAS menyeru kerajaan persekutuan mengikuti langkah kerajaan Kedah yang tidak memperbaharui lesen judi, menjadikan tiada lagi premis perjudian dan loteri beroperasi di negeri itu bermula tahun ini.

Ketuanya Datuk Ahmad Yahaya berkata tidak cukup bagi kerajaan persekutuan sekadar menurunkan cabutan khas nombor ramalan daripada 22 kali kepada lapan kali setahun.

“Dewan Ulama PAS ingin menyeru kerajaan persekutuan supaya turut mempunyai tekad politik yang sama. Tidak wajar sekadar berbangga dengan penurunan cabutan undi tetapi premis judi masih dibiarkan membelenggu masyarakat di negara ini.

“Dewan Ulama PAS yakin dan percaya bahawa tidak ada dapatan yang menunjukkan aktiviti perjudian boleh membawa masyarakat keluar daripada kepompong kemiskinan. Ia hanya ilusi ibarat sebuah fatamorgana,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bermula semalam, tiada lagi premis perjudiaan dan loteri beroperasi di negeri Kedah selepas kerajaan negeri tidak lagi memperbaharui lesen aktiviti itu.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata pihaknya juga mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk melakukan pemantauan bagi memastikan semua premis perjudian mematuhi arahan yang dimuktamadkan sejak November lalu.

Mengucapkan tahniah kepada kerajaan Kedah, Ahmad berkata dasar yang tegas perlu dilaksanakan kerana kegiatan judi membawa kepada keruntuhan moral serta mengganggu keharmonian keluarga dan masyarakat.

“Satu pintu kerosakan ditutup, jutaan pintu keberkatan dan rezeki yang melimpah ruah dibuka,” katanya, lapor MalaysiaKini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here