Oleh TOK CHEY
KITA semua tidak akan lupa ketika Covid-19 mengganas di China dan rakyat Malaysia kira-kira tiga tahun lalu menjadi penonton melihat bagaimana pandemik itu melumpuhkan kesihatan dan ekonomi negara kuasa besar dunia itu.
Malaysia pada waktu tersebut juga masih ‘suci’ daripada penyebaran penyakit berkenaan dan kelihatan begitu yakin tidak akan mengalami nasib sama seperti mana yang berlaku di negara yang mempunyai penduduk berbilion orang itu.
Ia terbukti apabila kerajaan PH yang memerintah pada masa itu tidak menunjukkan reaksi yang mereka bimbang kemasukan pelancong dari China akan menyebabkan penyakit berkenaan merebak kepada rakyat Malaysia.
Contohnya pada 26 Januari 2020, Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad berkata situasi Covid-19 (pada waktu itu dipanggil koronavirus 2019-nCoV) di China belum lagi kritikal hingga memaksa kerajaan untuk menghalang kemasukan pelancong China daripada memasuki Malaysia.
Padahal ketika membuat keputusan itu, Malaysia sudah merekodkan empat kes dan kes terkini ialah seorang lelaki berusia 40 tahun dari Wuhan, China yang tiba dengan bas di Johor Bharu dari Singapura. Lelaki itu masuk ke Malaysia bersama kumpulan 17 pelancong China termasuk isteri dan anak-anak mereka.
Disebabkan kebimbangan Malaysia akan menjadi seperti China dan kes-kes positif yang mula menular, rakyat Malaysia melancarkan petisyen online membantah kemasukan rakyat China dengan 149,000 orang telah menurunkan tanda tangan.
Bantahan orang ramai tidak dipedulikan dan akhirnya kebimbangan itu menjadi nyata apabila Malaysia terjebak sama dengan kes jangkitan dan kematian yang mana kebanyakan daripada kita berpengalaman melalui pengalaman hitam dijangkiti dan yang paling perit kehilangan ahli keluarga disebabkan virus itu.
Kehidupan sosial dan ekonomi kita juga dibadai apabila semua sektor terpaksa ditutup bagi mengelakkan kes terus memuncak, kematian bertambah dan bagi menghalang perlindungan kesihatan kita daripada lumpuh.
Dan setelah kita berjaya melalui tiga tahun yang perit itu dan mahu mula bernafas, dunia dikejutkan semula dengan peningkatan kes yang mendadak di China yang tarikhnya hampir sama iaitu ketika dekatnya dengan sambutan Tahun Baru Cina.
Maka, rakyat Malaysia secara automatik sudah pasti tidak mahu apa yang terjadi sebelum ini berulang semula kerana kita semua sudah tidak sanggup untuk melalui semula episod hitam yang begitu ‘menyeramkan’ itu.
Tok Chey, seperti mana orang lain mahu kerajaan bertindak tegas menghalang kemasukan pelancong China kerana bimbang varian baru yang didakwa lebih berbahaya itu merebak ke negara kita dan mengancam rakyat negara ini.
Walaupun kedatangan mereka dapat meningkatkan ekonomi sektor pelancongan, tetapi mudarat disebabkan virus itu dibimbangi akan lebih besar berbanding pendapatan yang akan kita perolehi.
Bahkan kebimbangan rakyat Malaysia berasas apabila sudah terdapat negara yang bertindak pantas mengenakan sekatan terhadap pelancong dari negara China seperti Maghribi manakala Kanada, Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun, Itali dan Sepanyol turut menguatkuasakan perjalanan baharu bagi pelancong yang datang dari China.
Kenyataan daripada Menteri Pelancongan, Tiong King Sing yang meminta rakyat Malaysia supaya berhati-hati dengan komen supaya rakyat China tidak merasa tersisih apabila datang ke Malaysia nampak benar seperti kepentingan rakyat negara ini tidak penting bagi kerajaan yang ditunjangi PH-BN.
Oleh itu, Tok Chey harap kerajaan Perpaduan dan menteri Kabinet dapat mengambil pengajaran kejadian sebelum ini supaya pisang tidak berbuah dua kali yang kesannya kita bimbang lebih parah berbanding apa yang kita alami pada gelombang pertama.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.