Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
500 mangsa banjir di Kelantan,Terengganu mohon ganti MyKad -

500 mangsa banjir di Kelantan,Terengganu mohon ganti MyKad

JABATAN Pendaftaran Negara (JPN) menerima sebanyak 500 permohonan penggantian dokumen pengenalan diri yang baharu daripada individu terlibat banjir di Kelantan dan Terengganu baru-baru ini.

Ketua Pengarah JPN Datuk Ruslin Jusoh berkata angka itu dijangka akan meningkat memandangkan buat masa ini dipercayai masih ramai mangsa banjir yang belum berkesempatan untuk membuat permohonan penggantian dokumen berkenaan.

“Buat masa ini kebanyakan mangsa-mangsa banjir sedang memberi perhatian kepada proses pemulihan pascabanjir.

Mereka yang kehilangan dokumen pengenalan diri seperti kad pengenalan, sijil lahir atau sijil mati mengalami kerosakan boleh memohon penggantian secara percuma,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan kad pengenalan kepada 19 mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kampung La di Hulu Besut di sini, hari ini.

Beliau berkata lagi, individu terlibat juga boleh membuat penggantian dokumen berkenaan jika ada kakitangan jabatan itu berkunjung ke kawasan terjejas atau hadir sendiri di pejabat JPN berhampiran. 

Menurut Ruslin, usaha turun padang pihak JPN itu merupakan inisiatif bagi membantu meringankan beban mereka yang terjejas akibat banjir.

“Mangsa tidak perlu tergesa-gesa kerana tiada tempoh had masa ditetapkan untuk permohonan baharu,” katanya.

Katanya, seramai 220 kakitangan daripada Ibu pejabat JPN Terengganu dan Kelantan terlibat dalam membantu urusan penggantian pengenalan diri itu menerusi Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) JPN.

Banjir yang melanda Terengganu bermula 18 Dis lepas disifatkan sebagai banjir terburuk apabila lebih 40,000 penduduk di semua daerah di negeri itu terjejas dan terpaksa dipindahkan ke PPS.

Kampung La di Hulu Besut merupakan kawasan paling teruk terjejas apabila banyak rumah rosak serta musnah dihanyutkan arus banjir dan sehingga kini walaupun banjir telah surut, seramai 53 orang daripada 12 keluarga masih berlindung di PPS di kampung berkenaan.

— BERNAMA