KES scam bagi jenayah komersial di Negeri Sembilan merekodkan 2,277 kes membabitkan kerugian berjumlah RM40.7 juta bagi tempoh Januari hingga November lepas, kata Ketua Polis negeri DCP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof.
Beliau berkata daripada kes tersebut polis mengesan enam modus operandi yang melibatkan kes penipuan dalam talian iaitu Macau Scam 393 kes dengan kerugian RM12.4 juta; pembelian secara dalam talian, 711 kes (RM5.4 juta); pinjaman tidak wujud, 309 kes (RM2.3 juta); pelaburan tidak wujud, 302 kes (RM8.4 juta); e-financial fraud, 103 kes (RM5.3 juta) dan Love Scam 66 kes (RM1.5 juta).
“Kali ini polis mengesan tiga modus operandi baharu iaitu tipu tawaran kerja, 379 kes (RM5.2 juta) iaitu mangsa ditawarkan kerja secara dalam talian; tipu tekan link sebanyak 20 kes dengan kerugian RM337,344 dan tiga kes bagi kes tipu mendapatkan bantuan dengan kerugian RM3,760.
“Seramai 1,152 suspek ditangkap bagi kes tersebut manakala 605 individu dituduh di mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas selesai walkabout program ‘High Profile Policing’ (HPP) di Jalan Bandar Tunggal, Seremban hari ini.
Sementara itu bagi kes jenayah narkotik di negeri ini, seramai 1,260 individu ditahan dengan rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM83,596 menerusi Ops Tapis Khas yang dijalankan tujuh kali bagi tempoh Januari hingga Disember di 56 sarang dadah.
Dalam perkembangan lain Ahmad Dzaffir berkata polis akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sekiranya terdapat premis perniagaan berhampiran kawasan Perindustrian Arab Malaysia, Nilai bagi mengesan pihak yang membuang longgokan hiasan ayat al-Quran di tepi jalan semalam.
Katanya longgokan tersebut akan dilupuskan di Pusat Dakwah Islamiah Paroi, mengikut hukum syarak yang ditetapkan dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan.
Media semalam melaporkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menemukan longgokan hiasan ayat al-Quran yang dibuang oleh pihak tidak bertanggungjawab di tepi jalan di kawasan Perindustrian Arab Malaysia.
Terdahulu beliau berkata program HPP anjuran Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) negeri merupakan inisiatif PDRM mendekati masyarakat melalui pengedaran risalah dan maklumat tentang trend jenayah terkini yang perlu lebih berwaspada.
Katanya menerusi program tersebut juga dapat mengeratkan persefahaman antara polis dan orang awam selain dapat memberikan keyakinan keselamatan kepada masyarakat.
— BERNAMA
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.