PPj digesa teliti kurangkan cukai pintu kediaman sehingga RM500,000 – Radzi

0
178

AHLI Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin memohon Perbadanan Putrajaya (PPj) dan kerajaan agar meneliti dan mempertimbangkan pengurangan cukai pintu bagi unit kediaman bernilai sehingga RM500,000.

Menurutnya, ini setelah mengambil kira harga kediaman di Putrajaya yang agak tinggi berbanding tawaran potongan 30 peratus jumlah cukai taksiran yang dikenakan kepada semua kediaman yang berharga bawah RM300,000 di Putrajaya.

Beliau berkata, ramai juga dalam kalangan pemilik kediaman begini yang terdiri daripada kumpulan M40 menyuarakan aduan tentang cukai pintu yang tinggi.

“Namun, mengambil kira harga kediaman di Putrajaya yang tinggi, saya memohon agar pihak PPj dan kerajaan untuk meneliti dan mempertimbangkan pengurangan cukai pintu bagi unit kediaman bernilai sehingga RM500,000,” katanya baru-baru ini.

Radzi yang juga Naib Presiden Bersatu berkata, beliau menyambut baik keputusan kerajaan memberikan potongan 30 peratus jumlah cukai taksiran yang dikenakan kepada semua kediaman yang berharga bawah RM300,000 di Putrajaya bermula tahun depan.

Katanya, usaha itu dibuat susulan perbincangan bersama Perbadanan Putrajaya (PPj) tempoh hari dengan menyampaikan hasrat warga Putrajaya agar kadar cukai pintu dapat diturunkan.

“Semoga berita yang baru sahaja diumum ini dapat memberi kegembiraan kepada warga Putrajaya. InsyaAllah kita akan terus bersama berjuang demi kesejahteraan warga Putrajaya dari semasa ke semasa,” katanya.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata semua kediaman yang berharga bawah RM300,000 di Putrajaya akan diberikan potongan 30 peratus daripada jumlah cukai taksiran yang dikenakan.

Katanya, pengurangan itu selaras hasrat kerajaan untuk mengurangkan bebanan rakyat terutama melibatkan golongan M40 dan B40 yang memiliki kediaman mampu milik di Putrajaya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here