Dr Radzi Jidin, Liew Chin Tong dua tokoh politik masa depan Malaysia

0
342

SAYA telah lama menyimpan hasrat untuk kembali semula ke alma matter saya untuk membuat penyelidikan dan menulis.

Alhamdulillah, permohonan saya untuk mendapatkan status pelawat di Australian National University (ANU), Canberra telah diterima. Jika tiada aral saya akan berada di sana selama sebulan bermula 1 Februari hingga 1 Mac 2023.

Saya bercadang untuk menulis sedikit mengenai pengalaman saya dalam kerajaan dan politik, khususnya pengalaman saya berkhidmat dengan Tan Sri Muhyiddin sejak tahun 2009.

Saya mula menjejakkan kaki di ANU pada Disember 2003 dan tamat pengajian Phd dalam bidang sains politik di Research School of Pacific and Asian Studies pada Disember 2007.

Pengalaman menulis tesis di ANU di bawah bimbingan Emeritus Professor Harold Crouch dan Emeritus Professor Greg Fealy adalah yang paling manis dalam hidup saya. Mereka adalah pakar dalam bidang sains politik yang amat dihormati. Buku-buku mereka menjadi rujukan pelajar sains politik terutamanya di Malaysia dan Indonesia. Professor John Funston juga antara pakar rujuk saya di sana.

Walaupun bergelar maha guru dalam bidang pengkhususan masing-masing, mereka amat merendah diri dan menghormati pelajar di bawah bimbingan mereka. Apabila membuat analisa dalam sesuatu isu, mereka selalunya amat objektif dan sentiasa memberikan fair comment.

Prof Harold berpesan kepada saya, dalam penulisan tesis sains politik, jangan ambil pendekatan beremosi dan judgmental. Saya tanya macamana nak buat, dia kata “you have to be sophisticated in your writings”.

Kebetulan tesis saya adalah berkenaan undang-undang, politik dan hubungan kaum di Malaysia. Kadang-kadang saya terikut-ikut dengan emosi politik Malaysia tertulis perkataan “draconian”, “dictator”, “discriminatory” dan lain-lain. Dia nasihatkan saya supaya sebolehnya elakkan penggunaan perkataan-perkataan ini dalam penulisan akademik. Misalnya tidak perlu tulis “the draconian law…”. Tulis saja “the law…”.

Kecuali jika kita memetik daripada sumber lain maka boleh lah ditulis dengan menyatakan sumber. Atau jika terpaksa tulis sekalipun, tambahlah perkataan “quite” atau “seems to be”. Sebab yang kita nampak “draconion” itu, tak semestinya “draconian” bagi orang lain. Apapun, analisa akademik mestilah fair.

Di ANU jugalah saya mengenali dua orang tokoh ahli politik muda yang berpotensi besar di Malaysia.

YB Datuk Dr Radzi Jidin, Naib Presiden Bersatu dan Ahli Parlimen Putrajaya adalah sahabat baik saya di ANU. Mantan Menteri Kanan Pendidikan ini pada ketika itu sedang melanjutkan pengajian Phd dalam bidang perakaunan di ANU.

Beliau seorang yang amat rajin dan gigih. He is a workaholic. Saya tak tahu macamana dia membahagikan masa. Walaupun sedang menulis tesis, beliau juga mengajar sebagai tutor di ANU. Malah sangat aktif berpersatuan dengan memegang jawatan Pengerusi Kelab Umno Canberra dan Pengerusi Kelab Melayu Canberra.

Di rumahnya kami berkumpul makan-makan sambil sembang politik. Isterinya Datin Balkis pandai memasak dan itulah tarikan utama untuk kami berkumpul.

Seorang lagi ialah YB Liew Chin Tong, Timbalan Setiausaha Agung DAP dan Timbalan Menteri MITI. Kami juga bersahabat baik semasa di ANU.

Beliau orang Malaysia pertama yang saya jumpa di Canberra dan beliaulah yang bantu saya cari bilik hostel di Fenner Hall. Pada ketika itu, beliau sedang melanjutkan pengajian honours degree dalam bidang sains politik di ANU.

Beliau seorang yang amat articulate dan mudah mesra. Kami banyak bersembang hal-hal politik Malaysia semasa minum petang. That’s our favourite past time as graduate students.

Saya ingat dalam satu majlis perpisahan yang dianjurkan untuk YB Chin Tong sempena majlis graduasinya, seorang minah Mat Salleh berseloroh dengan berkata kepadanya, “You will be the future Prime Minister of Malaysia”. Saya yang berada di sebelahnya kata dengan nada berseloroh, “Yes, he will. But not without my support”.

Pada ketika itu, saya tak bayangkan DAP boleh jadi kerajaan. Rupa-rupanya dah dua kali sahabat saya itu jadi Timbalan Menteri.

Itulah kehidupan. Kadang-kadang kita tak boleh jangka apa yang akan berlaku di masa hadapan. Kata orang, there is no permanent friend and no permanent enemy in politics.

Bagi saya pula, bila kita berkawan baik dengan seseorang, berkawanlah sampai bila-bila. Soal politik, letak ke tepi.

Datuk Dr Marzuki Mohamad

Bekas Ketua Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri Kelapan.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here