Kes demam denggi meningkat minggu lepas, lima kematian dilaporkan

KES demam denggi dalam tempoh seminggu berakhir 17 Disember lalu meningkat sebanyak 4.2 peratus kepada 1,950 kes berbanding 1,872 pada minggu sebelumnya.

Daripada jumlah kes direkodkan pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-50 tahun ini (ME50/22) sepanjang tempoh 11 hingga 17 Disember itu, sebanyak lima kematian akibat komplikasi denggi turut dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dalam kenyataan hari ini, memaklumkan kumulatif kes demam denggi dilaporkan hingga kini adalah 62,060 kes berbanding 25,161 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Perkembangan itu, katanya, menunjukkan peningkatan sebanyak 146.7 peratus, manakala bagi jumlah kematian pula, sebanyak 49 kes pesakit meninggal dunia akibat komplikasi denggi dilaporkan berbanding 19 kematian bagi tempoh sama pada 2021.

“Sebanyak 58 lokaliti ‘hotspot’ dilaporkan pada minggu berkenaan berbanding 55 lokaliti pada minggu sebelumnya. Daripada jumlah itu, 32 lokaliti ‘hotspot’ adalah di Negeri Selangor, 16 di Sabah, enam lokaliti di Kuala Lumpur dan Putrajaya serta empat lokaliti di Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata, survelan chikugunya pula merekodkan 22 kes pada ME ke-50 dengan 12 kes di Pulau Pinang, Perak (5), Negeri Sembilan (2), dan masing-masing satu kes di Selangor, Melaka serta Terengganu.

“Bagi survelan zika, sebanyak 2,132 sampel darah dan 18 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif,” katanya menasihatkan orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga bagi mencegah peningkatan kes demam denggi terutama bagi penduduk di kawasan terjejas banjir.

Semasa bencana banjir, katanya, semua pihak yang menggunakan pusat pemindahan sementara (PPS) perlu bersama-sama menjaga kebersihan dan membuang sampah di tempat yang telah disediakan.

“Bagi mencegah gigitan nyamuk, pakai pakaian berlengan panjang dan berseluar panjang semasa berada di PPS dan pakai bahan repelan (antiserangga) pada anggota badan yang terdedah,” katanya.

Beliau juga menyarankan masyarakat melakukan aktiviti gotong-royong selepas banjir surut untuk menjaga kebersihan kediaman dan persekitaran bagi memastikan ia tidak menjadi tempat pembiakan aedes. – BERNAMA