PN nafi guna duit judi, sedia jadi pembangkang dan ambil alih kerajaan – Hamzah

0
208

PERIKATAN Nasional (PN) secara tegas menafikan tuduhan bahawa gabungan itu menerima dana politik daripada hasil perjudian ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sepatutnya mengeluarkan tuduhan dan persepsi buruk terhadap Kerajaan sebelum ini.

Jelas Ahli Parlimen Larut itu, jika benar berlaku pelanggaran, siasatan perlu dijalankan terhadap mana-mana pihak.

“Yang Berhormat Tambun, anda sekarang adalah Perdana Menteri bukan lagi Ketua Pembangkang. Saya ialah Ketua Pembangkang sekarang.

“Jangan buat tuduhan semberono, no more fake news daripada anda. Ini harapan daripada rakyat, semua rakyat sedar PN mempunyai sokongan yang agak besar, 74 ahli parlimen yang diberikan kepercayaan dan sokongan.

“Jangan pula sokongan yang ikhlas dan jujur ini ditohmah sebagai sokongan yang dibeli dengan wang perjudian.

“Kenyataan seperti ini adalah berniat jahat apabila cuba memberikan gambaran dana politik PN adalah hasil sumbangan judi,” katanya ketika membahaskan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Isnin.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata Menteri Kewangan ketika itu, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkuasa penuh terhadap lesen perjudian, dan Anwar sepatutnya mendapatkan penjelasan daripada beliau.

“Jangan timbulkan persepi yang bukan-bukan terhadap kami.

“Kami bersedia menjadi pembangkang yang berwibawa dan bersedia mengambil alih kerajaan apabila tiba masanya nanti,” ujarnya lapor Astro AWANI.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media sebelum ini mendedahkan kemungkinan PN memperoleh dana politik daripada syarikat berkaitan perjudian bagi membiayai perbelanjaan pilihan raya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here