Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Tanah runtuh: Pengusaha tapak perkhemahan, dua pekerja dipanggil bantu siasatan-Polis -

Tanah runtuh: Pengusaha tapak perkhemahan, dua pekerja dipanggil bantu siasatan-Polis

POLIS telah memanggil pengusaha tapak perkhemahan Father’s Organic Farm dan dua pekerjanya bagi membantu siasatan berhubung tragedi tanah runtuh yang setakat ini telah mengorbankan 24 nyawa.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt Suffian Abdullah berkata lelaki tempatan berusia 50-an dan dua pekerja lelaki berusia lingkungan 30-an itu, hadir di Ibu Pejabat Daerah Hulu Selangor petang semalam.

“Kemungkinan (pada masa akan datang) kita akan memanggil lagi pihak-pihak yang terlibat untuk membantu siasatan,” katanya dalam sidang media bersama Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Datuk Norazam Khamis di lokasi kejadian di sini hari ini.

Sebelum ini Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata tapak perkhemahan berkenaan diusahakan tanpa lesen kebenaran beroperasi daripada Majlis Daerah Hulu Selangor.

Dalam kejadian sekitar 2.42 pagi Jumaat, runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter telah menimpa tapak perkhemahan itu, di Jalan Genting-Batang Kali di sini.

Dalam pada itu, Suffian berkata 15 mayat mangsa tragedi iaitu dua lelaki dewasa, lapan perempuan dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan telah diserahkan kepada keluarga mereka semalam.

Katanya sembilan lagi mayat masih berada di Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan tuntutan oleh waris.

“Kita memohon waris dan keluarga terlibat, rakan-rakan (yang) tahu tentang maklumat ini supaya pergi ke Hospital Sungai Buloh untuk membuat pengecaman bagi memudahkan urusan pengembalian mayat kepada keluarga,” katanya.

Beliau berkata pihaknya mempunyai pasukan khas di hospital bagi membantu menguruskan aspek dokumentasi dan urusan penyerahan mayat kepada keluarga mangsa terlibat.

Operasi mencari dan menyelamat hari ini memasuki hari ketiga dan setakat semalam, sembilan masih hilang dan 61 orang selamat daripada keseluruhan 94 mangsa.

— BERNAMA