Perjanjian persefahaman gabungan parti tidak berperlembagaan – Muhyiddin

0
171

TAN Sri Muhyiddin menyifatkan Perjanjian Persefaham yang ditandatangi oleh gabungan parti dalam Kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) tidak berperlembagaan.

Dalam kenyataan hari ini, Pengerusi Perikatan Nasional itu berkata, perjanjian itu bercanggah dengan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

Berikut kenyataan penuh beliau:

Saya memandang serius Perjanjian Persefahaman yang ditandatangani oleh gabungan-gabungan parti dalam kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang mewajibkan Ahli-Ahli Dewan Rakyat dari parti masing-masing mengundi usul-usul tertentu di Dewan Rakyat termasuk undi percaya kepada Perdana Menteri yang mana kegagalan mereka berbuat demikian akan menyebabkan mereka kehilangan kerusi Parlimen yang disandang.

Perjanjian ini adalah bercanggah dengan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan yang menghendaki Ahli-Ahli Dewan Rakyat mengosongkan kerusi hanya apabila mereka melompat parti. Undang-undang anti lompat parti tidak menghalang hak dan kebebasan Ahli-Ahli Dewan Rakyat untuk mengundi di Dewan Rakyat. 

Tidak ada mana-mana bahagian dalam Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan yang menghendaki seorang Ahli Dewan Rakyat mengosongkan kerusinya jika beliau tidak menurut arahan parti dalam pungundian mana-mana usul atau rang undang-undang.

Malah, hal ini dinyatakan dengan jelas dalam Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti.

Butiran 21.3 dan 21.2 penyata ini menyebut:

21.3  Jawatankuasa mengambil maklum pandangan bahawa ADR (Ahli Dewan Rakyat) yang tidak mengundi mengikut arahan parti politik (crossing the floor) dianggap bertukar parti adalah tidak berperlembagaan kerana ADR mempunyai hak kebebasan di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk mengundi di Dewan Rakyat.

21.4  Jawatankuasa bersetuju bahawa tindakan ADR yang mengundi bertentangan dengan arahan parti politik di Dewan Rakyat (crossing the floor) adalah tidak dianggap bertukar parti dan tidak terhenti menjadi ADR.

Maka, berdasarkan peruntukan dalam Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan dan Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas yang disebutkan di atas, saya percaya Perjanjian Persefahaman yang ditandatangani oleh parti-parti gabungan dalam kerajaan pimpinan PH adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Perjanjian yang tidak berperlembagaan ini menunjukkan seolah-olahnya Perdana Menteri tidak yakin beliau akan mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Sekiranya beliau yakin, maka tidak perlulah beliau mengambil tindakan yang tidak berperlembagaan ini.

Lebih daripada itu, saya bimbang sekiranya perjanjian ini dianggap sah, maka kerajaan pimpinan PH akan memaksa Ahli-Ahli Dewan Rakyat mereka mengundi usul-usul atau rang undang-undang lain pada masa akan datang, termasuk yang berkaitan dengan pindaan perlembagaan.

Ini kerana, sepertimana yang didakwa oleh Perdana Menteri, beliau telah pun mempunyai sokongan 148 Ahli Dewan Rakyat, iaitu genap majoriti 2/3 Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang membolehkan pindaan perlembagaan dibuat.

Sekiranya perjanjian persefahaman yang berunsur kediktatoran (dictatorial) ini dianggap sah, maka tidak mustahil pindaan perlembagaan yang bertentangan dengan naluri (conscience) Ahli-Ahli Dewan Rakyat dan nilai masyarakat di negara ini akan diluluskan oleh Dewan Rakyat secara paksa.

Rakyat Malaysia tentunya tidak mahu pilihanraya yang diadakan secara bebas, adil dan demokratik akhirnya menghasilkan sebuah kerajaan yang tidak demokratik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here