Perjanjian permuafakatan bukti Anwar goyah, kata Muhyiddin

0
175

PERJANJIAN permuafakatan antara gabungan parti politik yang dimeterai semalam, membuktikan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak yakin mampu meraih sokongan majoriti Ahli Parlimen dalam sidang khas Dewan Rakyat yang akan berlangsung 19 Disember ini.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perjanjian yang turut memaksa Ahli Parlimen mengosongkan kerusi sekiranya tidak menyokong Perdana Menteri dalam apa-apa usul juga, tidak pernah dilihat dalam mana-mana bentuk persefahaman atau undang-undang sebelum ini.

“Saya tidak pernah lihat dalam mana-mana undang-undang perkara seperti itu dilaksanakan kecuali yang berkaitan dengan akta lompat parti yang mana kalau tidak sokong mesti gugurkan kedudukan dia sebagai Ahli Parlimen.

“Jadi saya lihat macam Perdana Menteri tidak berapa yakin usul percaya itu boleh diteruskan (kerana) sepatutnya ada asas kepercayaan kepimpinan parti untuk sokong, tetapi tidak adalah menyokong (sehingga) seberat itu.

“Saya fikir Ahli Parlimen sepatutnya tidak terasa dipaksa, ini tidak boleh dipaksa walaupun mereka dalam gabungan itu ada sefahaman,” katanya, lapor Astro Awani.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Kesyukuran PN Parlimen Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh, Pagoh, Muar, hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here