“Selepas Sosma, adakah kerajaan akan buat lebih banyak ‘pusingan U’” – LFL

0
233

KUMPULAN peguam Lawyers for Liberty (LFL) hari ini menyelar kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) atas kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution yang disifatkan membuat “pusingan U” berhubung Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, mengatakan kerajaan tidak berhasrat untuk mengkaji semula undang-undang kontroversi itu.

Dalam sebuah kenyataan, Pengarah LFL Zaid Malek berkata tindakan kerajaan yang menukar pendirian mengenai perkara itu, tidak sampai seminggu selepas menduduki Putrajaya, adalah satu perkara yang “sangat membimbangkan”.

“Adakah mungkin bakal terjadi lebih banyak pusingan U dan tindakan mundur ke belakang mengenai kedaulatan undang-undang dan hak asasi manusia akan datang?”

Pada 13 Disember Saifuddin yang bercakap pada sidang media mempertahankan undang-undang yang lebih dikenali sebagai Sosma, mengatakan ia membenarkan proses mahkamah berlaku.

Saifuddin turut membandingkan Sosma dengan undang-undang sebelumnya iaitu Akta Keselamatan Dalam Negeri, mengatakan di bawah Sosma, tempoh tahanannya di bawah undang-undang itu “hanya 28 hari”.

Bagaimanapun, Zaid berkata walaupun dengan tempoh tersebut, undang-undang itu tetap mengekalkan “tempoh penahanan yang tidak munasabah tanpa pemantauan perundangan”, di samping turut menambah tahanan yang kemudiannya didakwa di mahkamah turut bermungkinan akan terus ditahan sementara menunggu perbicaraan.

“Bahkan, jika mereka dibebaskan ketika perbicaraan, mereka masih boleh terus ditahan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan,” tambahnya.

“Ringkasnya, orang yang ditahan di bawah Sosma mungkin menghabiskan masa bertahun di penjara walaupun akhirnya didapati tidak bersalah dan dibebaskan.”

Beliau juga mempersoalkan dakwaan Saifuddin yang mengatakan tangkapan di bawah Sosma hanya dilakukan selepas  proses “risikan dan bukti yang diperolehi”.

“Jika ini benar, tiada keperluan untuk menahan dalam tempoh yang panjang dan tertuduh perlu didakwa di mahkamah serta merta,” katanya, lapor MalaysiaNow.

Selain itu, Zaid turut merujuk pendirian PH semasa menjadi pembangkang pada Mac tahun ini di Dewan Rakyat, di mana ia gagal menghentikan usul kerajaan terdahulu melanjutkan Seksyen 4(5) Sosma yang membenarkan tempoh tahanan selama 28 hari, menyifatkan kenyataan itu “mengejutkan” kerana PH yang menjadi kerajaan ketika ini mengumumkan tiada keperluan untuk mengkaji semula akta tersebut.

“Lebih ironi lagi, ialah menteri dalam negeri yang membuat pengumuman sedemikian rupa semalam adalah antara ahli Parlimen yang mengundi menentang lanjutan Sosma di Parlimen lapan bulan lalu.

“Adakah undang-undang drakonian ini dengan secara tiba-tiba boleh diterima selepas anda menerajui kerajaan, dan tidak boleh diterima ketika anda menjadi pembangkang?” soalnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here