Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Pengusaha fun fair degil, langgar arahan sita -

Pengusaha fun fair degil, langgar arahan sita

WALAUPUN arahan sitaan sudah dikeluarkan namun pengusaha tapak pesta ria (fun fair) berhampiran Eco Grandeur, Puncak Alam, di sini, masih berdegil meneruskan operasi hingga menyebabkan tiga pengunjung cedera semalam.

Dalam kejadian itu, tiga individu termasuk seorang kanak-kanak cedera selepas tercampak keluar ketika menaiki permainan ‘Sotong Ride’ berpusing.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Rahilah Rahmat berkata, sitaan dilakukan pada 29 November lalu selepas permit operasi tidak diluluskan.

Katanya, selain beroperasi secara haram, tapak pesta ria itu juga tidak mendapat kebenaran MPKS, selain polis dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

“Pengusaha tapak pesta ria itu ada membuat permohonan permit daripada MPKS. Namun kita tidak meluluskannya dan menyita lokasi itu.

“Bagaimanapun, pihak berkaitan masih berdegil untuk beroperasi bermula Sabtu lalu (10 Disember) hingga mengakibatkan berlaku insiden malang itu,” katanya selepas meninjau tapak pesta ria itu, hari ini.

Rahilah berkata, pengusaha terbabit hanya mendapat kebenaran daripada pemilik tapak atau tanah, namun bukannya MPKS.

Sehubungan itu katanya, MPKS turut memberi notis kompaun kepada pengusaha tapak pesta ria itu mengikut Seksyen 6 (1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Selangor 1995.

“Kesalahan itu memperuntukkan denda maksimum RM25,000 atau penjara sehingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.

“Tapak pesta ria itu turut diarahkan tutup dan tidak boleh beroperasi sepenuhnya,” katanya lapor Harian Metro.

Sehubungan itu, Rahilah menasihati semua pihak supaya mematuhi arahan ditetapkan dan tidak beroperasi tanpa permit sah seumpama itu.

Katanya, kejadian seperti itu boleh dielakkan jika arahan pihak berkuasa dipatuhi sejak awal ketika sitaan dilakukan.