Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Lelaki terjun Sungai Kedah elak dicekup polis dikhuatiri lemas -

Lelaki terjun Sungai Kedah elak dicekup polis dikhuatiri lemas

Oleh RIZQI ZABIDI

TINDAKAN dua daripada tiga lelaki cuba melarikan diri daripada ditahan polis dengan terjun ke Sungai Kedah, memakan diri apabila seorang daripada mereka terkapai-kapai sebelum hilang dari pandangan dan dikhuatiri lemas.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 1 tengah hari tadi setelah mereka menyedari kehadiran pihak polis di lokasi tersebut iaitu di Taman Limau Manis, Alor Mengkudu dekat Alor Setar.

“Sebaik menyedari kehadiran pihak polis, ketiga-tiga mereka cuba melarikan diri namun seorang daripadanya yang berusia 20-an berjaya diberkas.

“Dua lagi individu cuba melarikan diri dengan terjun ke Sungai Kedah. Seorang daripada mereka iaitu lelaki berusia 30-an dapat berenang ke seberang dan melarikan diri.

“Namun seorang lagi individu berusia 45 tahun dikhuatiri lemas. Susulan itu, pihak bomba dipanggil untuk melaksanakan kerja mencari dan menyelamat,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Tambahnya, pihak polis hadir ke lokasi tersebut untuk melaksanakan ‘Ops Tapis’ setelah mendapat maklumat menyatakan akan berlaku penghantaran dadah di lokasi tersebut dari Pendang.

“Kalangan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Alor Setar kemudiannya membuat pemantauan terhadap sebuah kereta Proton wira dan sebaik kehadiran polis disedari, ketiga-tiga mereka terus cuba melarikan diri,” katanya.

Sementara itu Komander Operasi Kanan Bertugas, Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba II, Mohd. Firdaus Daud berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu daripada polis kira-kira pukul 1.07 tengah hari.

“Seramai lapan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja tiba di lokasi kejadian untuk melaksanakan tugas mencari dan menyelamat. Bantuan bot turut diterima dari BBP Alor Setar, Jalan Raja dan polis.

“Operasi tersebut turut melibatkan aktiviti selaman oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari BBP Jitra,” katanya. – SB