Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
'UMNO ibarat rumah sedang terbakar namun ahli dihalang padam api'- Annuar -

‘UMNO ibarat rumah sedang terbakar namun ahli dihalang padam api’- Annuar

UMNO kini diibaratkan sebuah rumah pusaka, yang sedang terbakar hingga menyebabkan ramai penghuninya lari, tetapi mereka yang berusaha memadam kebakaran itu, ditarik keluar daripada api yang sedang memusnahkan itu.

Demikian gambaran boleh difahami daripada perkongsian Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Kelantan, Tan Sri Annuar Musa, selepas dilaporkan dipecat dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, malam tadi.

Annuar dalam perkongsian di Facebook pagi ini, memberi isyarat terhadap kekecewaan itu sambil berkongsi gambar membantu kempen Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Padang Serai.

“Malam Jumaat, saya bermimpi. Rumah pusaka saya diami terbakar. Saya syak ada ‘main switch’ (suis utama) dah ‘short circuit’ (alami litar pintas) atau wayarnya terputus. Saya sayang rumah itu. Saya cuba memadam kebakaran supaya jangan lebih ramai penghuninya lari.

“Ketika api masih marak dan ramai yang terus lari meninggalkan rumah, tiba-tiba saya ditarik keluar dari api yang membakar. Kini saya hanya mampu melihat kebakaran dari luar.

“Walaupun saya amat sayang rumah itu,saya hanya mampu berdoa,” katanya memohon supaya ‘rumah’ yang terbakar itu diselamatkan, lapor BH Online.

Annuar sebelum ini dilihat lantang mengkritik kepimpinan Ahmad Zahid khususnya berkaitan usaha jajaran baru yang dibentuk oleh antara Barisan Nasional (BN) serta Pakatan Harapan (PH).

Dalam mesyuarat malam tadi, selain Annuar, dua lagi pemimpin akar umbi yang dikenakan tindakan sama adalah Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shamsiah Yasin, serta Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran, Datin Seri Fatimah Kassim.

Shamsiah dan Fatimah bulan lalu digantung sementara seluruh jawatan mereka atas dakwaan terbabit secara langsung atau tidak langsung, menyokong calon parti lawan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Shamsiah adalah isteri bekas Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Seri Shahidan Kasim, yang memenangi Parlimen Arau dalam PRU15 atas tiket Perikatan Nasional (PN), selepas dia digugurkan oleh BN daripada mempertahankan kerusi terbabit.

Fatimah pula adalah isteri kepada Datuk Seri Ismail Abd Muttalib, yang turut bertanding atas tiket PN dalam PRU15.

Terdahulu, hal pemecatan itu dimaklumkan Ahli MKT, Datuk Mohd Puad Zarkashi ketika ditemui media di Menara Dato’ Onn di sini, selepas mesyuarat selesai.

Sehingga kini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung tindakan pemecatan yang diambil oleh MKT malam tadi.