TINDAKAN UMNO memecat golongan penentang Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi disifatkan seorang bekas pembantu Tan Sri Annuar Musa sebagai politik dendam dan menghalang demokrasi menjelang pemilihan parti itu.
Annuar yang bersama parti itu sejak 1979 dan digugurkan daripada senarai calon Barisan Nasional (BN) pada PRU-15, antara tiga pemimpin akar umbi dipecat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi.
Bekas setiausaha akhbar Annuar, Tun Faisal Ismail Aziz, berkata ketua UMNO Ketereh dan dua pemimpin bahagian yang dipecat itu lantang terhadap Zahid dan “jajaran baharu” dengan Pakatan Harapan (PH).
Beliau mendakwa, pemecatan Annuar dan golongan penentang itu membuktikan Umno takut berdepan pemilihan parti akan datang.
“Pemecatan Annuar dan sejumlah yang lain jelas membuktikan politik dendam sedang menguasai UMNO dan presiden langsung tidak boleh dikritik walaupun telah terbukti gagal dalam PRU-15 lalu dan menjadi salah satu punca utama pengundi Umno dan atas pagar tidak mahu mengundi BN,” katanya di Facebook.
Bekas timbalan ketua UMNO Putrajaya itu yang digantung keahlian selama enam tahun sejak Mac 2021, turut mendakwa Zahid mengkhianati parti dan pengundi dengan memaksa Ahli Parlimen BN menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri dan bekerjasama dengan PH menubuhkan kerajaan.
Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan Annuar bersama Ketua Wanita UMNO Arau serta Maran, Shamsiah Yasin dan Fatimah Kassim dipecat.
Annuar sebelum ini dilabel sebagai “mesra Bersatu” oleh penyokong UMNO kerana desakannya untuk menyatukan parti itu dengan PAS dan Bersatu lapor FMT.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.