Rayuan Najib mohon dokumen perbankan syarikat berkaitan Jho Low ditolak

0
175

MAHKAMAH Rayuan Putrajaya pada Khamis menolak rayuan Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan dokumen perbankan syarikat dipercayai berkaitan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dan keluarga bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Bekas Perdana Menteri itu memohon 19 dokumen untuk digunakan dalam perbicaraan penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said bersama Datuk Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Nordin Hassan, menetapkan keputusan itu secara sebulat suara selepas mendapati Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dan membuat kesilapan ketika menolak permohonan berkenaan tahun lalu.

Nordin berkata, permohonan itu tiada merit menyebabkan tiada keperluan untuk pihaknya mengubah keputusan yang dibuat Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

“Hakim terbabit mempunyai budi bicara untuk menolak keputusan mengikut Seksyen 51 dan 425 Kanun Tatacara Jenayah (CPC). Menjadi hakim dalam perbicaraan dan dikemukakan pertuduhan serta bukti daripada pihak pendakwaan terhadap Najib, Sequerah berada di kedudukan untuk membuat penilaian.

“Ia berdasarkan bukti lisan yang diperlukan dalam perbicaraan untuk membuat keputusan terhadap permohonan itu mengikut Seksyen 51 dan 51A CPC termasuk berkaitan dana diterima keluarga Zeti.

“Permohonan di Mahkamah Rayuan ditolak dan keputusan dibuat Mahkamah Tinggi kekal, itu keputusan kami,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Susulan itu, Kamaludin berkata, secara ringkasnya keputusan Mahkamah Rayuan membabitkan isu berbangkit mengikut undang-undang sedia ada.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram ketika ditemui media berkata, keputusan Mahkamah Rayuan mengesahkan Mahkamah Tinggi tidak membuat kesilapan terhadap permohonan membabitkan kes Najib yang didakwa mengikut akta pengubahan wang haram dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Dokumen yang diminta termasuk kenyataan siasatan membabitkan polis dan SPRM adalah rahsia. Saya juga bernasib baik mempunyai pasukan pendakwaan dalam kelas tersendiri untuk berdepan permohonan itu.

“Berkaitan perbicaraan kes Najib, seramai 43 saksi sudah dipanggil untuk memberi keterangan dan kita akan panggil tujuh lagi, tak silap saya saksi yang dipanggil termasuk bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar,” katanya.

Pada 25 Oktober lalu, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhujah permohonan dokumen membabitkan syarikat yang dikawal oleh Jho Low dan keluarga Zeti ada pada pihak pendakwaan dan pihak berkuasa Malaysia.

Pihak berkuasa Singapura yang didakwa menyiasat skandal kewangan 1MDB di negara itu memberikan dokumen berkenaan kepada pihak berkuasa Malaysia termasuk Bank Negara Malaysia (BNM).

Bagaimanapun, Gopal dilaporkan berkata, dokumen itu adalah pramatang dan tidak relevan dengan perbicaraan Najib, selain ia hanya boleh dimohon selepas perintah membela diri.

Katanya, tidak dinafikan kewujudan dokumen itu serta bebanan terletak pada pihak pembelaan untuk menunjukkan bahawa permohonan mereka adalah berdasarkan bukti yang boleh diterima dan bukannya keterangan bersifat dengar cakap.

Pada 12 Julai tahun lalu, Sequerah menolak dua permohonan Najib yang meminta pendakwaan perbicaraan kes 1MDB mendedahkan dokumen perbankan dikaitkan dengan keluarga Zeti selepas dikatakan menerima wang daripada Jho Low.

Najib memfailkan permohonan pada 24 Mac tahun lalu untuk meminta pendakwaan memberikan penyata perbankan daripada beberapa syarikat, termasuk Aktis Capital Singapore Pte Ltd, Country Group Securities Public Company Ltd, ACME Time Ltd (BVI), Butamba Investments Ltd dan Central Holdings Ltd.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga memfailkan permohonan kedua pada 7 April tahun lalu untuk mendapatkan perjanjian penyelesaian sulit antara kerajaan dan Goldman Sachs Group pada 2020 dan transkrip atau laporan forensik berhubung telefon bekas rakan kongsi Goldman Sachs di Asia, Tim Leissner.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here