Pilihan raya di enam negeri wajar diadakan serentak – SPR

0
49

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) mengharapkan dapat melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan secara serentak.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, jika harapan berkenaan dapat direalisasikan, ia akan dapat memudahkan urusan SPR terutama dari segi pengurusan termasuk melakukan penyelarasan serta persiapan awal.

“Bagaimanapun SPR tidak mempunyai sebarang kuasa untuk membuat pembubaran bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri yang terlibat memandangkan ia berada di bawah bidang kuasa Menteri Besar ataupun Ketua Menteri.

“Kalau tanya pandangan SPR. kita kalau boleh, (pilihan raya negeri bagi) keenam enam (negeri terlibat) dibuat serentak, (ia akan) memudahkan urusan kita dan dari segi petugas kita, memudahkan kita di SPR buat penyelarasan walaupin dari segi kos tetap sama juga

“(Berhubung tarikh sesuai), yang ini susah saya hendak cakap, saya tidak ada kuasa untuk membubarkan DUN, tidak ada (kuasa untuk membuat sebarang) recommendation, (sebab perkara itu) terpulang kepada kepimpinan negeri masing-masing,” katanya.

Abdul Ghani berkata demikian ketika sidang media selepas hadir meninjau pengumuman keputusan Pilihan Raya Umum (PRU15) bagi Parlimen Padang Serai di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech, Padang Serai, malam tadi.

Tambahnya, kos bagi menjalankan PRN di enam negeri berkenaan adalah dianggarkan sekitar RM450 juta meskipun ianya diadakan secara serentak mahupun berasingan.

Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa proses pengundian Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman berlangsung dengan baik dan teratur.

Peratus keluar mengundi disifatkan agak tinggi dan melebihi sasaran memandangkan PRU bagi kedua-dua kawasan ini diadakan pada hari bekerja, lapor Astro Awani.

Sementara itu, Abdul Ghani turut memaklumkan bahawa purata jumlah peratusan keluar mengundi bagi PRU15 adalah sebanyak 74.71 peratus.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here