Najib gagal batalkan injuksi Mareva dari SRC

MAHKAMAH Rayuan telah menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk mengetepikan injunksi Mareva yang menghalangnya daripada memindahkan atau melupuskan mana-mana asetnya berjumlah RM42 juta kerana saman SRC International Sdn Bhd terhadapnya.

Injunksi Mareva merupakan perintah sementara yang menghalang defendan daripada melupuskan aset sehingga keputusan dicapai dalam kes saman sivil.

Hakim Yaacob Sam memutuskan bahawa tiada kesilapan membolehkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi ketika memberikan injunksi Mareva terhadap bekas perdana menteri itu.

“Perintah Mahkamah Tinggi (yang dikeluarkan pada 24 Mac) disahkan,” kata Yaacob dalam menyampaikan keputusan sebulat suara oleh panel tiga hakim itu.

Hakim lain yang mendengar permohonan itu adalah Ravinthran Paramaguru dan Mariana Yahya.

Mahkamah turut memerintahkan Najib membayar kos RM15,000.

Najib diwakili peguam Harvinderjit Singh manakala Nagarajah Muttiah mewakili SRC International.

SRC International dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd, memfailkan saman terhadap Najib tahun lepas, mendakwa beliau telah melakukan pecah amanah, menyalahgunakan kuasanya, mendapat manfaat secara peribadi daripada dana SRC International dan menyalahgunakan dana tersebut.

Memetik laporan FMT, mereka mendapat perintah injunksi itu awal tahun ini.

Di bawah terma injunksi itu, Najib tidak boleh mengeluarkan, melupuskan, berurusan atau mengurangkan asetnya di dalam dan di luar Malaysia sehingga nilai RM42 juta, sementara menunggu penentuan muktamad saman itu.

Selain itu, beliau hanya boleh mengeluarkan sehingga RM100,000 sebulan daripada akaun banknya untuk perbelanjaan sara hidup dan bayaran yuran guaman.

Beliau kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengesahkan sabitannya dalam kes SRC International atas salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pertuduhan pengubahan wang haram.