Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Letusan Gunung Semeru: Singapura keluarkan nasihat perjalanan kepada rakyatnya -

Letusan Gunung Semeru: Singapura keluarkan nasihat perjalanan kepada rakyatnya

SINGAPURA mengeluarkan nasihat perjalanan kepada rakyatnya susulan letusan Gunung Semeru di Jawa Timur, Indonesia.

“Susulan laporan mengenai letusan gunung berapi Gunung Semeru, rakyat Singapura dinasihat untuk menangguhkan perjalanan yang tidak penting ke kawasan terjejas ketika ini,” menurut Kementerian Luar (MFA) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, pada Selasa.

Rakyat Singapura yang kini berada di Lumajang dan Malang harus memantau perkembangan dengan teliti dan mengelakkan diri daripada berada di Gunung Semeru dan kawasan sekitar.

Pihak berkuasa Indonesia telah meningkatkan amaran kepada Tahap Empat (Awas atau Amaran) susulan letusan Gunung Semeru di Jawa Timur pada 4 Dis, menurut kementerian itu. 

Badan Vulkanologi dan Tebatan Bencana Geologi Indonesia (PVMBG) turut mengeluarkan amaran kepada penduduk sekitar yang tinggal dalam radius lapan kilometer (km) dari gunung itu.

Agensi itu juga memberi amaran kepada penduduk setempat supaya tidak melakukan sebarang aktiviti di kawasan tenggara Gunung Semeru di sepanjang sungai Besuk Kobokan sehingga 17 km dari kawah dan 500 meter dari sungai Besuk Kobokan.

Gunung berapi Semeru meletus pada Ahad dengan menghamburkan kepulan abu panas setinggi 1,500 meter.

Pihak Berkuasa Nasional Pengurusan Bencana Indonesia juga memindahkan hampir 1,979 penduduk yang tinggal di daerah Lumanjang dan Malang ke 11 pusat perlindungan sementara.

Bagaimanapun, tiada kerosakan atau kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

Gunung Semeru merupakan antara gunung berapi paling aktif di Indonesia dan kali terakhir ia meletus pada Disember 2021, mengakibatkan 69 orang maut manakala 104 lagi cedera.

— BERNAMA