Dakwaan PN terima duit judi fitnah, tegas Muhyiddin

0
232

TUDUHAN kononnya Perikatan Nasional (PN) menerima duit dari syarikat perjudian untuk dijadikan sebagai sebahagian daripada dana pilihan raya Perikatan Nasional (PN) adalah fitnah semata-mata.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tuduhan itu adalah sesuatu yang amat berat.

“Itu fitnah, mana buktinya? Tuduhan begitu mudah dibuat tetapi kami ada prinsip dan kalau pun kita nak terima bantuan, kita takkan terima daripada sumber-sumber yang haram.

“Jadi saya tak tahu macam mana Perdana Menteri boleh buat tohmahan dan tuduhan yang berat begitu. Hanya kerana kami menang, ada banyak bendera dan berjaya gerakkan jentera dengan amat berkesan hingga menyebabkan UMNO tiada kerusi di lapan negeri, itu bukan bermakna bahawa kita mempunyai peruntukan besar.

“Nanti kita akan tengok apa yang patut dibuat. Tadi saya tanya hadirin, mereka kata kena ambil tindakan tetapi saya tak tahu apa-apalah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Ceramah Grand Finale PN di Taman Selasih dekat Kulim, malam tadi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Kabinet pertamanya semalam dilaporkan sebuah portal, memberi bayangan bahawa sebahagian dana Pilihan Raya PN datang dari syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas judi.

Terdahulu ketika menyampaikan ceramahnya, Muhyiddin berkata PN tidak akan terima walau satu sen pun duit haram dari mana-mana pihak terutamanya syarikat perjudian.

“Kami pemimpin ini dah haram judi di sana-sini (negeri dipimpin Pas), kemudian kami nak ambil duit judi kerana kami sengkek dan tak ada duit?

“Wallahi kami takkan lakukan perkara haram begitu. Kami takkan terima walau satu sen pun duit haram dari mana-mana pihak termasuk syarikat judi,” katanya.

Katanya, dana diperolehi PN dibantu oleh pihak-pihak tertentu termasuk rakan-rakan mereka.

“Kami pun ada kawan, tak ramai tetapi sikit-sikit tolong bantu. Ada yang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dapat, ada yang Gerakan dapat dan Pas pun dapat.

“Salahkah? Kalau ikut undang-undang tak salah tetapi Perdana Menteri boleh pula buat tuduhan berat. Baru buat Mesyuarat Kabinet hari ini, dah buat tuduhan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here