PN sudah lantik Ketua Pembangkang, kata Abdul Hadi

0
80

PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan Perikatan Nasional (PN) telah membuat pelantikan Ketua Pembangkang bagi Dewan Rakyat.

Namun beliau tidak mendedahkan siapa individu berkenaan sebaliknya memaklumkan satu kenyataan media akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

“PN akan buat kenyataan. Kita dah lantik dan PN akan buat kenyataan dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Kuala Lumpur, hari ini.

Abdul Hadi ditemui selepas selesai memberi keterangan selama hampir dua jam di IPD Sentul untuk siasatan beberapa laporan polis dibuat terhadapnya berhubung ucapan berbaur hasutan sewaktu berkempen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 baru-baru ini.

“Saya memberi kerjasama yang sepenuhnya kepada pihak polis. Beberapa soalan telah diajukan dan saya memberi penjelasan untuk soalan-soalan itu.

“Saya bersedia untuk tindakan selanjutnya sama ada ke mahkamah dan sebagainya. Kerajaan baharu ini sangat proaktif. Saya beritahu supaya giliran pihak lain iaitu Pakatan Harapan (PH) yang menyentuh Islam disiasat,” ujarnya.

Ketika ditanya sama ada akan dipanggil semula oleh pihak polis, Abd Hadi berkata, perkara itu tidak diberitahu dan beliau akan menunggunya.

Peguam yang mewakili Ahli Parlimen Marang itu, Wan Rohimi Wan Daud berkata, laporan polis yang dibuat ke atas Abdul Hadi itu melibatkan Seksyen 505 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan yang melibatkan kenyataan-kenyataan yang dikhuatiri mendatangkan khianat awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada 10 November, PH membuat laporan polis terhadap Abdul Hadi yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah.

Setiausaha DAP Kuala Lumpur, Lim Lip Eng berkata, Abdul Hadi didakwa mengeluarkan kenyataan yang mengaitkan PH dengan fahaman komunis serta anti tuhan dalam majlis di Temerloh, Pahang.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Abdul Hadi memaklumkan Pas menyerahkan kepada menteri besar untuk membuat keputusan berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri dikuasainya, Kelantan, Kedah dan Terengganu.

“Itu (Pilihan Raya Negeri) diserah kepada perbincangan dengan menteri besar,” katanya, lapor Sinar Harian.

Mengulas mengenai Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang mendakwa usaha sedang dibuat untuk memastikan PN menjadi kerajaan, Abdul Hadi berkata, pihaknya melihat perkembangan semasa apakah tindakan kerajaan hari ini.

“Usaha sekurang-kurangnya untuk pilihan raya akan datang. Kita lihat kepada perkembangan semasa apakah tindakan kerajaan. Kita tunggu apa reaksi rakyat terhadap kerajaan yang ada hari ini,” ujarnya.

Dalam sidang media kempen PN pada Ahad di Padang Serai, Shahidan memberi gambaran bahawa kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan bertahan lama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here