PIHAK berkuasa perlu sentiasa mengaktifkan sistem pemantauan wabak mengambil kira risiko terdedah kepada varian baharu COVID-19 yang lebih berbahaya disebabkan keadaan sempadan antarabangsa yang kini ‘terbuka’.
Pakar virologi Institut Perubatan dan Pergigian Termaju Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Muhammad Amir Yunus, berkata sistem berkenaan boleh membantu dalam mengenal pasti keadaan terkini wabak dalam negara, sekali gus memudahkan pendekatan lebih efektif dilaksanakan bagi menangani dan mengelak keadaan menjadi lebih buruk.
“Negara kini berisiko untuk terdedah kepada varian baharu COVID-19 yang mungkin lebih berbahaya mengambil kira keadaan sempadan antarabangsa yang kini ‘terbuka’ tanpa sekatan.
“Semua aktiviti kini kembali seperti biasa dan risiko itu tidak dapat dielak dan ia akan berlaku sama ada cepat atau lambat.
“Berikutan itu pihak berkuasa perlu sentiasa mengaktifkan sistem pemantauan wabak sama ada ia mencatatkan jangkitan tinggi berdasarkan kemasukan pesakit ke hospital atau sebaliknya,” katanya memetik BH Online.
Semalam, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan sekitar 90 peratus penduduk dunia kini memiliki ketahanan terhadap COVID-19, namun mengingatkan masih ada risiko kemunculan varian baharu yang berbahaya.
Difahamkan, sejumlah lebih 500 subvarian Omicron menular ketika ini dan ia lebih mudah bergerak di sebalik imuniti, meskipun kurang berbahaya berbanding varian sebelumnya.
Dalam pada itu, Muhammad Amir mengingatkan orang ramai mengenai kepentingan pemakaian pelitup muka sebagai penghalang pertama daripada dijangkiti wabak COVID-19 yang lebih berbahaya.
“Kita tidak dapat pastikan sama ada varian baharu COVID-19 ini lebih ganas atau sebaliknya, jadi pemakaian pelitup muka penting berdasarkan kesesakan di satu-satu kawasan.
“Bermakna orang ramai perlu bijak untuk menilai sesuatu keadaan sama ada perlu memakai pelitup muka atau sebaliknya,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menekankan bahawa varian baharu yang muncul mungkin sudah melalui beberapa mutasi dan vaksin yang ada mungkin tidak efektif untuk melawan.
“Vaksin yang kita peroleh adalah vaksin versi pertama dan berdasarkan kajian jika peratusan kelainan daripada varian dahulu adalah tinggi, kemungkinan vaksin yang ada kurang berkesan.
“Jadi amatlah penting untuk golongan rentan khususnya untuk peka supaya tidak menjadi mangsa seterusnya.
“Jangan alpa dan amat penting untuk bagi mereka yang menghidapi demam dan selsema supaya melakukan ujian saringan sendiri serta jangan merisikokan orang lain.
“Diingatkan juga, musim tengkujuh, penyakit mudah berjangkit dan kes mungkin naik mendadak sama ada ia membabitkan jangkitan COVID-19 atau selesema biasa saja,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.