Pengeluaran bersasar KWSP untuk golongan memerlukan perlu dipertimbang – Penganalisis

0
162

PENGELUARAN khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersasar adalah langkah yang lebih baik dilaksanakan kerana ia akan memfokus kepada mereka yang amat memerlukan.

Penganalisis ekonomi dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, suntikan tunai daripada pengeluaran KWSP pasti akan dibelanjakan untuk menyemarakkan ekonomi domestik.

Katanya, pengeluaran bersasar bukan sahaja kepada golongan B40 tetapi juga golongan M40, iaitu kepada sesiapa yang memerlukan dalam jangka masa pendek ini dan masih belum pulih sepenuhnya daripada pandemik Covid-19.

“Sekiranya ada keperluan mendesak maka pengeluaran KWSP boleh ditimbangkan mengikut keperluan pencarum.

“Masalahnya, ramai pencarum mempunyai baki simpanan yang rendah apabila sudah dibenarkan pengeluaran khas yang lalu, sekali imbas pengeluaran kali ini barangkali hanya memenuhi sebahagian kecil kehendak pencarum sahaja yang berbaki positif.

“Justeru, jika kerajaan ingin melaksanakan pengeluaran KWSP, lebih baik ia diberi secara bersasar,” katanya, lapor Harian Metro.

Beliau berkata, KWSP sebenarnya tabungan untuk hari tua, tetapi krisis yang tercetus daripada pandemik Covid-19 menyebabkan ramai yang tidak dapat mengelakkan pengeluaran ini.

“Jadi ramai yang telah terjejas dan tidak mempunyai tabungan yang mencukupi untuk hari tua, mungkin perlunya kerajaan merumuskan cadangan baharu untuk memperbaiki kebajikan rakyat Malaysia untuk masa kini dan masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Perancang Kewangan Berlesen, Rafiq Hidayat Mohd Ramli berkata, data KWSP menunjukkan ramai pencarum yang simpanan persaraan mereka tidak banyak iaitu bawah RM10,000.

Katanya, wang KWSP adalah duit rakyat untuk bersara dan disebabkan kesan pandemik, rakyat sudah banyak menggunakan wang sendiri (kebenaran pengeluaran khas KWSP) untuk kelangsungan hidup.

“Sebaiknya untuk membantu rakyat terutama golongan B40 dan M40, dalam jangka pendek kerajaan perlu memberi subsidi bersasar terutama subdisi petrol kerana sekarang T20 turut mendapat manfaat terbabit.

“Kerajaan perlu segera mengkaji semula subsidi dan wang lebihan itu boleh digunakan untuk membantu rakyat yang masih bergelut dengan kewangan mereka,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here