Polis siasat video bendera Malaysia dikibar dengan bendera Israel

0
179

POLIS membuka satu kertas siasatan berhubung penyebaran klip video menunjukkan sekumpulan individu menyanyikan lagu Negaraku dan bendera Malaysia dikibarkan bersama-sama bendera negara Israel yang tersebar di media sosial.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood, berkata siasatan dijalankan ekoran daripada satu laporan polis yang diterima pada jam 11.20 malam, kelmarin.

Menurut beliau, pengadu memaklumkan dia melihat satu klip video berdurasi 47 saat berkaitan kejadian itu dalam satu kumpulan WhatsApp sebelum tampil membuat laporan polis.

“Hasil siasatan mendapati kejadian dalam klip video itu berlaku pada September lalu, ketika sekumpulan warga tempatan mengadakan lawatan ke Tasik Galilee yang terletak dalam kawasan jajahan Israel.

“Lawatan dibuat menerusi Ziarah Kembara yang dikendalikan sebuah agensi pelancongan tempatan dan ketika lawatan, lagu Negaraku dipasang dan dinyanyikan serta bendera Malaysia dikibarkan,” katanya dalam kenyataan memetik laporan BH Online.

Menurut Ku Mashariman, satu kertas siasatan dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Lagu Kebangsaan 1968 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Dalam pada itu, katanya orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan menyebarkan sebarang bahan berkaitan kejadian itu menerusi mana-mana platform.

“Ini bagi mengelakkan sebarang spekulasi dan provokasi sehingga menjejaskan siasatan pihak polis serta menggugat ketenteraman awam.

“Klip video itu dipercayai diviralkan semula untuk dikaitkan dengan isu Israel yang sedang panas sekarang,” katanya.

Semakan BH di media sosial pula mendapati ada pihak yang menjelaskan bahawa semasa lawatan di Tasik Galilee dengan bot itu, kapten bot berkenaan memainkan lagu Negaraku dan menaikkan bendera Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here