Kes ubah wang haram Rosmah dibicara Mei tahun depan

0
209

KES pengubahan wang haram dan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang dihadapi Datin Seri Rosmah Mansor akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi selama 15 hari bermula 12 Mei tahun depan.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu ketika prosiding kes berkenaan hari ini yang turut dihadiri peguamnya, Datuk Geethan Ram Vincent dan Timbalan Pendakwa Raya, Poh Yih Tinn bagi pendakwaan.

Tarikh yang ditetapkan bagi perbicaraan itu adalah pada 12 Mei; 28 dan 30 Jun; 6, 7, 27, 28 dan 31 Julai; 1, 2, 11, 24 dan 25 Ogos serta 7 dan 8 September tahun depan, lapor BH Online.

Bagaimanapun, Mohamed Zaini berkata, tarikh perbicaraan itu bergantung kepada keputusan rayuan Rosmah supaya beliau menarik diri daripada mendengar kes terbabit, yang akan didengar Mahkamah Rayuan.

Sementara itu, Yih Tinn memberitahu mahkamah, pendakwaan akan memanggil 15 saksi untuk memberi keterangan.

Pada prosiding sebelum ini, hakim mengingatkan pembelaan supaya memberi keutamaan kepada kes berprofil tinggi itu kerana masih belum dibicarakan walaupun selepas empat tahun Rosmah didakwa iaitu pada 4 Oktober 2018.

Rosmah, 70, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 12 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama.

Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, Rosmah didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan seperti diperuntukkan Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 dengan tiada sebab munasabah yang bertentangan Seksyen 112 akta sama.

Pada 30 November 2018, permohonan pembelaan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi dibenarkan mahkamah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here