Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Suspek keempat kes rompakan bersenjata di Parit Buntar ditahan -

Suspek keempat kes rompakan bersenjata di Parit Buntar ditahan

POLIS berjaya menahan seorang lagi suspek yang melarikan diri dalam rompakan bersenjata di Parit Buntar, dekat sini, baru-baru ini.

Lelaki berusia 49 tahun itu ditahan di Butterworth, Pulau Pinang kira-kira jam 10.30 malam tadi.

Pada Ahad, tiga suspek yang disyaki terlibat dalam insiden rompakan bersenjata sehingga menyebabkan kecederaan seorang pembekal sayur di Parit Buntar ditahan.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Juna Yusoff berkata, ketiga-tiga suspek direman selama lima hari hingga 2 Disember ini.

“Suspek yang baru ditahan malam tadi akan direman pagi ini,” kata Juna lapor Astro AWANI.

Kesemua suspek berusia 47 hingga 63 tahun itu ditahan dalam rondaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian di sekitar Parit Buntar kira-kira jam 4 pagi.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, penahanan itu dibuat selepas terlihat sebuah kereta jenis Proton Waja yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, polis menahan kereta terbabit selepas mendapati terdapat tiga lelaki bersenjatakan pedang dan parang memasuki kereta berkenaan.

Suspek yang terkejut bertindak melibas pedang ke arah pasukan polis dan cuba melarikan diri dengan memandu dan melanggar kenderaan polis yang berada di hadapan kereta mereka.

Polis, dalam usaha mempertahankan diri, terpaksa melepaskan tembakan bagi memberhentikan kenderaan suspek.

Tiga suspek itu kemudian berjaya diberkas, manakala seorang lagi telah melarikan diri sebelum ditangkap malam tadi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 38 Akta Senjata Api 1960.