Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
PRU15: PN Pahang buru kerusi DUN ke-18 -

PRU15: PN Pahang buru kerusi DUN ke-18

PERIKATAN Nasional (PN) Pahang meletakkan sasaran untuk menambah satu lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tioman bagi menjadikan 18 kerusi DUN dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 7 Disember ini.

Pengerusi PN negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah yakin sasaran itu dapat diperoleh berdasarkan kekecewaan rakyat di negeri ini.

“Kita menuntut kerjasama daripada semua kepimpinan dan akar umbi supaya bekerja kuat bagi memastikan DUN Tioman dapat ditawan PN.

“Kita sudah ada 17 kerusi DUN Pahang, kita hendak tambah satu lagi kerusi demi suara rakyat yakni kerusi DUN Tioman. Kita akan hantar calon kita ke DUN Pahang.

“Jadi, kita semua perlu kerja kuat dan jaga semua kawan serta teman untuk bersama kita (PN). Kita berdoa agar beroleh kejayaan (kemenangan) tersebut,” katanya ketika menyampaikan ceramah perdana di bandar Baru Rompin, malam tadi.

Keputusan PRU15 menyaksikan PN memperoleh 17 kerusi DUN, manakala Barisan Nasional (BN) mendapat 16 kerusi dan lapan kerusi dimenangi Pakatan Harapan.

Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan PRU15 bagi DUN Tioman yang ditangguhkan susulan kematian calon PN, Md. Yunus Ramli pada 3.30 pagi hari pengundian 19 November lalu, diadakan pada 7 Disember ini.

Calon PN DUN Tioman, Nor Idayu Hashim bakal dicabar calon PH, Mohd. Fadzli Mohd. Ramly, Datuk Seri Mohd. Johari Hussain (BN), Oman A Bakar (Pejuang) dan Sulaiman Bakar (Bebas).

Saifuddin menyatakan keyakinan kepada calonnya, Nor Idayu boleh menjadi suara generasi baharu, suara wanita muda dan wanita keseluruhannya serta penduduk di DUN Tioman.

“Beliau (Nor Idayu) saya lihat penuh keyakinan boleh menjadi seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau wakil rakyat Tioman yang akan menjaga semua orang tidak kira, tua, muda, lelaki mahupun wanita, kanak-kanak dan dewasa.

“Saya yakin, beliau akan kotakan katanya, namun biasanya kita bahagi tugas dalam sidang DUN berdasarkan kepakaran, latar belakang dan fokus yang tertentu,” ujar beliau lagi.