Tiada penderhakaan, pembohongan mungkin ada

0
241

PEMIMPIN-pemimpin UMNO ‘memang panas’ selepas tindakan menyertai Kerajaan Perpaduan yang diketuai Pakatan Harapan (PH) mendapat reaksi negatif penyokong mereka. Berikutan itu pemimpin UMNO terpaksa menyusun naratif bahawa tindakan sertai kerajaan tersebut demi akur titah Yang di-Pertuan Agong.

Kata mereka, baginda titah BN sertai Kerajaan Perpaduan BUKAN DITERAJUI Perikatan Nasional. Betul ke baginda sebut “…bukan diterajui Perikatan Nasional’?.. Kalau betul titah seumpama itu, maknanya ia bukan kerajaan perpaduan tetapi kerajaan perpecahan? Penulis lebih cenderung untuk percaya ayat ‘…bukan diterajui Perikatan Nasional’’ adalah rekaan – pemimpin UMNO.

Mereka sudah gelabah kerana tindakan menyeret parti itu bergabung bersama Anwar Ibrahim dan DAP tak disenangi penyokong mereka. Justeru mereka nak tunjuk kononnya tidak mahu menderhaka jadi terpaksa sertai Kerajaan Perpaduan. Tak apalah itu alasan mereka, cuma penulis nak cakap usaha bergabung dengan Anwar terutamanya bukan perkara baru.

Seorang pemimpin kanan UMNO sudah lama usahakan. Jadi tak payahlah nak main sentimen Muhyiddin Yassin derhaka bila tak ikut titah Agong. Tiada isu derhaka kat sini, isu pembohongan mungkin ada bila Pemimpin BN kata ‘’..kerajaan perpaduan bukan diterajui Perikatan Nasional.”

Negara kita bukan berada dalam situasi darurat yang semua parti kena lupakan politik sebaliknya duduk dalam satu kerajaan tanpa pembangkang.

Sebaliknya, apa yang berlaku, Allah SWT menentukan PRU-15, tiada parti yang memperolehi majoriti mudah 112 kerusi untuk menubuhkan kerajaan. Oleh itu bagi memastikan kestabilan politik, Yang di-Pertuan Agong mengambil inisiatif mencadangkan parti-parti bergabung dalam Kerajaan Perpaduan.

Penulis yakin sebagai seorang yang bijaksana, baginda tidak akan meletakkan sebarang syarat apatah lagi bertitah ‘Kerajaan Perpaduan yang bukan diterajui Perikatan Nasional’.

Adalah lebih baik pemimpin-pemimpin UMNO berhenti mahu memperbodohkan ahli dan penyokong mereka demi melaksanakan politik matlamat menghalalkan cara. UMNO bukannya tidak ada pilihan, tetapi UMNO sengaja memilih Pakatan Harapan diketuai Anwar dan didominasi DAP.

Kalau UMNO dan BN membuat keputusan untuk bersama Perikatan Nasioanal sudah pasti Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Parti Rakyat Sabah (GPRS) akan menyertainya. Ia memandangkan GPS berkali-kali menyatakan mereka mahu menyertai gabungan Kerajaan Perpaduan yang dianggotai oleh Perikatan Nasional, BN, GPS dan  GPRS.

Atas sebab itulah, tidak payahlah pemimpin UMNO meneruskan ‘kempen tidak bijakl’ dengan mahu mewujudkan persepsi bahawa Muhyiddin angkuh dan derhaka kerana menolak Kerajaan Perpaduan. Tidak salah untuk Muhyiddin dan Pas membuat keputusan untuk berada dalam blok pembangkang. Kalau semua parti berada dalam kerajaan siapa yang akan melaksanakan peranan ‘semak dan imbang’?

Berada dalam kerajaan memanglah seronok, sebab itulah ramai yang berkata, UMNO tidak boleh menjadi pembangkang. Mereka beruntung sebab dua kali ditolak oleh rakyat dalam dua pilihan raya umum (PRU) masih berpeluang menjadi kerajaan walaupun terpaksa ‘menggadaikan prinsip ‘No Anwar, No DAP’.

Ini berbeza dengan Perikatan Nasional, kepemimpinan parti itu lebih rela menjadi pembangkang daripada menggadaikan prinsipnya. Maka sewajarnya, pemimpin UMNO menghormati pendirian Perikatan Nasional dan bukannya tidak habis-habis bercakap soal akur titah Yang di-Pertuan Agong.

Kalaulah pemimpin UMNO yakin apa yang mereka lakukan termasuk bersedia ‘mensucikan’ keceluparan pemimpin-pemimpin DAP terhadap orang Melayu dan UMNO, silakan sahaja, biarlah rakyat menilai. Bagi Perikatan Nasional tiada apa yang dikesalkan apabila membuat keputusan tidak menyertai Kerajaan Perpaduan.

Perikatan Nasional masih kekal sebagai gabungan mempunyai kerusi kedua paling banyak di Dewan Rakyat dengan Pas menjadi parti menguasai kerusi paling banyak dengan 49 kerusi. Dan kini bersedia menjadi pengganti Barisan Nasional dan UMNO. Paling penting Perikatan Nasional kini menjadi pilihan orang Melayu.

Statistik keputusan PRU-15 menunjukkan, Perikatan Nasional yang dianggotai dua parti Melayu iaitu Bersatu dan Pas mendapat sokongan 54 peratus orang Melayu, Cina (0.05%), India (0.05%), PH Melayu (11 %), Cina (94%), India (83%) dan lain-lain (66%) manakala Barisan Nasional pula tahap sokongan berdasarkan kepada kaum ialah Melayu 33%, Cina 5%) dan India (16%).

Justeru kalaulah BN/UMNO berbangga kerana mereka tidak menderhaka titah Yang di-Pertuan Agong dan mencari kestabilan dan kemakmuran dengan mengenepikan segala sentimen terhadap Anwar dan DAP..bergembiralah. Tetapi jangan lupa orang Melayu sedang memerhati.

Ingatlah pesanan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad:

‘’Semua ini menunjukkan bahawa orang Melayu sudah tidak boleh bergantung kepada UMNO lagi untuk membela kepentingan mereka. Maka sudah tiba masanya bagi orang Melayu meninggalkan UMNO dan memberi sokongan padu kepada PN.’’

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here