Jangan keluar kenyataan ganggu pentadbiran Johor, pesan MB

0
196

MENTERI Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi meminta semua pihak agar tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengganggu gugat pentadbiran negeri itu.

Menerusi hantaran di Facebook, Onn Hafiz berkata, Johor masih lagi sebuah kerajaan yang stabil, di bawah naungan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Insya-Allah. Negeri Johor masih lagi sebuah kerajaan yang stabil di bawah naungan Kebawah DYMM Tuanku Sultan Johor.

“Saya mohon kembali supaya tidak ada pihak yang mengeluarkan kenyataan yang boleh mengganggu-gugat pentadbiran negeri Johor. Kepada Allah kita berserah,” katanya lapor FMT.

Ia susulan kenyataan Timbalan Pengerusi PKR Johor Jimmy Puah Wee Tse yang dilaporkan berkata, Pakatan Harapan (PH) Johor, memohon budi bicara kerajaan negeri untuk membenarkan wakil rakyat daripada parti itu dilibatkan sebagai ahli Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD).

Puah dipetik sebagai berkata, ia bertujuan menyelaraskan gerak kerja pentadbiran memandangkan gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) sudah menjadi rakan sekutu di peringkat persekutuan.

“PH Johor akan menulis surat rasmi berhubung perkara itu dalam masa terdekat. Saya harap atas budi bicara kerajaan negeri khasnya Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi, membenarkan ADUN dan Ahli Parlimen PH Johor untuk menjadi ahli JTPD dan terlibat dalam mesyuarat itu.

“Ini kerana kita sudah jadi rakan sekutu di persekutuan dan memang ada keperluan untuk kita menyertai mesyuarat bulanan di pejabat daerah bagi menyelaraskan gerak kerja, saya harap menteri besar boleh mempertimbangkannya,” katanya dalam satu program di Parlimen Tebrau hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here