‘Saya tahu, saya bukan sendiri. Terima kasih rakyat Malaysia’ – Muhyiddin

0
228

PENGERUSI Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam ini menukilkan sebuah tulisan kepada penyokong dan rakyat Malaysia tentang perjuangan yang masih panjang dan berliku.

“Saya insafi, perjuangan ini bukan milik saya. Perjuangan ini milik kita bersama, rakyat Malaysia.

“Usah kita bersedih hati. Sudah tentu jalan ini jalan yang sukar. Jalan ini jalan yang panjang.

“Kuatkan semangat dan tabahkan hati. Jika kita sabar, dan berpegang teguh kepada amanah bangsa dan ikhlas dalam berjuang, insya-Allah akan sentiasa ada sinar di hujung jalan,” katanya.

Berikut nukilan hati Muhyiddin untuk penyokong PN dan rakyat Malaysia yang disiarkan di Facebooknya malam ini.

Sebak rasa hati ini mengenangkan sokongan rakyat di atas jalan perjuangan ini. Saya juga insan biasa, yang punya rasa sedih dan kecewa. Insan kerdil yang juga punya air mata.

Di saat memeluk isteri saya ini saya bukan sahaja merasa tenangnya hati, lapangnya dada, redha takdir Illahi.

Terngiang-ngiang laungan sokongan daripada anda semua ketika berkempen, dan komen-komen sokongan saudara saudari rakyat yang saya kasihi di media sosial.

Saya tahu. Saya bukan sendiri. Bersama dengan saya adanya saudara saudari yang kekal berdiri. Memapah saya agar terus berjalan dan berlari di landasan perjuangan ini.

Saya insafi, perjuangan ini bukan milik saya. Perjuangan ini milik kita bersama, rakyat Malaysia.

Perjuangan murni yang didasari tekad menyelamatkan negara. Perjuangan demi kedaulatan agama, bangsa dan negara kita.

Usah kita bersedih hati. Sudah tentu jalan ini jalan yang sukar. Jalan ini jalan yang panjang. Kita tidak akan berhenti dari terus berjalan dek kerana ujian yang melanda.

Ingat lah bahawa obor perjuangan tetap terus menyala. Kuatkan semangat dan tabahkan hati. Jika kita sabar, dan berpegang teguh kepada amanah bangsa dan ikhlas dalam berjuang, insya-Allah akan sentiasa ada sinar di hujung jalan.

Pujuklah hati, bahawa esok hari masih ada. Kita bina Malaysia yang lebih baik dengan setiap kudrat yang ada, dalam apa jua kapasiti kita sekalipun. Ingatlah, Malaysia itu milik kita semua bersama.

Moga saudara saudari, sentiasa berada di dalam lindungan Allah swt dan semoga perjuangan kita semua diredhai Yang Maha Esa.

Terima kasih semua rakyat Malaysia.

Ikhlas dari saya
Muhyiddin Yassin

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here