Mahkamah benar permohonan Tommy Thomas batal saman Najib

0
150

BEKAS Peguam Negara (AG) Tan Sri Tommy Thomas berjaya dalam permohonannya untuk membatalkan saman yang difailkan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dakwaan menyalahgunakan kuasa untuk mendakwanya atas pertuduhan melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Bache ketika membenarkan permohonan Thomas berkata tuntutan yang dikemukakan oleh Najib selaku plaintif tidak boleh dipertahankan dan tidak ada sebab tindakan yang munasabah. 

“Tuntutan ini adalah remeh, menyusahkan dan penyalahgunaan proses mahkamah. Sehubungan itu mahkamah membenarkan permohonan Thomas untuk membatalkan tuntutan itu,” katanya dan memerintahkan Najib untuk membayar kos RM12,000.

Ahmad Bache dalam penghakimannya berkata kes Najib masih berjalan manakala Thomas bukan lagi Peguam Negara.

Kes itu ialah 1MDB, International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 ( AMLATFPUAA 2001).

Hakim itu berkata mahkamah mempertimbangkan pendapat bahawa punca tindakan salah guna kuasa dan proses yang dikatakan berniat jahat adalah tidak kukuh dan bukan pemula kerana Thomas tidak pun menjalankan pendakwaan bagi empat kes itu.

“Plaintif (Najib) boleh memfailkan saman jika beliau dibebaskan daripada semua kes tetapi kini kes masih belum selesai.

“Walaupun jika Thomas mempunyai agenda terhadap Najib, beliau tidak akan menjalankan pendakwaan terhadap plaintif. Oleh itu, bagaimana beliau boleh dikatakan telah melakukan salah guna (kuasa). Malah pengakuan dalam saman seperti yang disebut sebelum ini, tidak mendedahkan sebarang sebab tindakan yang munasabah,” katanya.

Hakim itu berkata sekiranya beliau membenarkan saman itu diteruskan, ia akan membuka laluan bagi empat lagi kes Najib untuk dibicarakan di mahkamah sivil berdasarkan imbangan pembuktian sivil walaupun perbicaraan jenayah bagi empat kes itu masih berjalan.

“Prosiding ini akan dilihat sebagai serangan terhadap empat kes itu. Malah, tuntutan ini tidak sepatutnya difailkan sama sekali, sebelum selesai perbicaraan empat kes itu. Ia juga telah mewujudkan kekeliruan dan pelanggaran bidang kuasa antara bidang kuasa sivil dan jenayah,” katanya sambil menambah bahawa permohonan Najib juga terlalu awal.

Hakim Ahmad berkata tiada keperluan untuk tuntutan itu dibicarakan secara penuh dan tiada sebab untuk Thomas hadir ke mahkamah memberi penjelasan.

Beliau seterusnya berkata Thomas mempunyai imuniti daripada disaman berdasarkan budi bicara yang diberikan kepadanya di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

“Ini kerana Thomas sebagai Pendakwa Raya diberi kuasa budi bicara yang luas dan dengan itu menikmati imuniti daripada sebarang prosiding terhadapnya,” kata hakim.

Hakim Ahmad menegaskan bahawa duluan undang-undang masih mengesahkan hakikat bahawa kuasa perlembagaan Peguam Negara di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan untuk memulakan atau menarik balik pertuduhan jenayah, bukanlah sesuatu yang boleh dicabar di mahkamah.

Hakim berkata Thomas dilantik sebagai Peguam Negara merangkap Pendakwa Raya pada 4 Jun 2018 oleh kerajaan Pakatan Harapan di bawah Tun Dr Mahathir Mohamed, bukannya peguam negara politik. 

Peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan Yudistra Darma Dorai mewakili Najib manakala Alan Adrian Gomez mewakili Thomas.

Thomas, melalui notis permohonan untuk membatalkan saman itu yang difailkan pada 18 Nov 2021, antara lain mendakwa jika saman Najib diterus dan dibicarakan, ia akan menyebabkan kes jenayah yang dihadapi bekas Perdana Menteri itu dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi tergendala.

Pada 22 Okt 2021, Najib memfailkan saman tersebut yang mendakwa pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada langkah yang dirancang lebih awal oleh Thomas dan ia selari dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

Najib, 69, mendakwa beliau telah dituduh secara salah di mahkamah dalam kes yang membabitkan 1MDB, IPIC, salah guna kuasa di bawah Akta SPRM 2009 serta pengubahan wang haram di bawah AMLATFPUAA 2001.

Beliau memohon satu deklarasi bahawa Thomas telah melakukan misfeasans dalam jawatan awam dan ganti rugi RM1.9 juta termasuk fi rundingan untuk pasukan audit bagi menyemak dokumentasi dalam penyediaan fakta untuk menangani pendakwaan terhadapnya. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here