BN perlui akui ditolak rakyat – Naib Ketua Pemuda UMNO

0
180

Oleh BADLISHAH MAT

KEPUTUSAN untuk bersama dalam Kerajaan Perpaduan tidak mengubah kepada realiti bahawa Barisan Nasional (BN) hanya menang 30 kerusi dan UMNO khususnya di Semenanjung hanya memperoleh 20 kerusi.

Bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan Sufian berkata, mereka perlu sedar ditolak pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) disebabkan ketidakpercayaan rakyat sehingga memerlukan kepada pembersihan terhadap imej dan integriti parti.

Menurut Naib Ketua Pemuda UMNO itu, kepimpinan termasuk dirinya perlu mengakui dan memohon maaf kepada penyokong bahawa mereka tidak berjaya membendung gelombang yang membawa kepada prestasi teruk dalam sejarah UMNO dan BN.

“Salah satu perkara yang perlu dilihat adalah imej parti dilihat tidak berintegriti dan ini kita kena semak, lihat dan pastikan dalam masa lima tahun atau penggal ini ada satu kemampuan dan kemahuan untuk bukan hanya ubah kaedah kempen berpolitik tetapi membersihkan imej parti.

“Membersihkan imej parti kita bukan semata-mata dalam media sosial, kita bercakap bukan semata-mata ayat kita atau hujah kita tetapi siapakah perwatakan yang kita bawa dalam parti ini untuk masa depan,” katanya ketika ditemui pada Program Santai Pemuda UMNO Padang Serai di Kulim, hari ini.

Shahril Hamdan berkata, mereka tidak boleh menunggu sehingga ‘dirempuh asteroid’ yang mungkin menyebabkan BN pupus setelah kini berhadapan dengan tsunami politik.

Menurut beliau, politik khidmat tidak lagi menjamin kemenangan kepada calon atau pemimpin UMNO kerana mereka turut terpalit dengan imej parti di peringkat nasional.

“Imej parti di peringkat nasional memainkan peranan di seluruh negara, tak banyak kawasan yang terasing dengan gelombang nasional. Anda bagus macam mana pun di kawasan, anda beri khidmat macam mana pun lima tahun ini tetapi kalau imej di peringkat nasional tidak baik akan terkesan juga pada calon dan kepimpinan di peringkat bahagian.

“Ini realiti yang kita kena cakap, kita kena ambil tanggungjawab bersama sebab itu walaupun pendirian saya sebelum ini sudah jelas selepas kita tewas, saya sendiri ambil tanggungjawab (letak jawatan), saya nampak ini bukan salah mana-mana individu tapi kepimpinan secara keseluruhan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here