Sanusi setuju bincang pilihan raya serentak di enam negeri

0
44

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyatakan bahawa pihak kerajaan negeri bersetuju untuk mengadakan perbincangan bersama pimpinan lima negeri lain untuk mengadakan pilihan raya negeri secara serentak.

Kata Sanusi, cadangan berkenaan akan memudahkan proses pilihan raya dijalankan termasuk pergerakan pengundi luar untuk pulang mengundi selain kos yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Bagaimanapun, beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat menyatakan bahawa negeri-negeri yang dipimpin Pas perlu mendapatkan persetujuan Pas Pusat.

“Pada asasnya saya bersetuju, walau bagaimanapun (ia) kena bawa kepada pertimbangan pihak parti, kalau Pas Pusat setuju, saya tidak ada masalah, bagi pihak negeri, pilihan raya bersama lebih baik untuk bagi peluang kepada semua (anak perantau untuk) balik, dan cuti (diberikan) serentak.

“Persiapan parti bertanding pun boleh fokus kepada negeri masing-masing, kalau satu negeri sahaja buat (pilihan raya) nanti banyak pulak cuti, petugas parti kena cuti, kalau serentak boleh fokus tempat masing-masing (ia akan) jadi macam PRU balik, kalau (laksana serentak di) enam negeri.

“Kalau satu negeri (sahaja diadakan pilihan raya), orang Kedah kata ‘pakat pi kerumun’ di situ, tentu (akan) jadi kelam kabut,” katanya, lapor Astro AWANI.

Sanusi berkata demikian ketika ditemui media selepas mengiringi calon PN bagi Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin ke pusat penamaan calon di Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech di Kedah hari ini.

Semalam, Kerajaan Pulau Pinang terbuka untuk berbincang dengan Kedah, Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan dan Selangor sama ada Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh dibubarkan serentak, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan bersama.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, mengikut perlembagaan, DUN Pulau Pinang akan tamat pada 2 Ogos 2023 dan PRN perlu diadakan dalam 60 hari selepas itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here