Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Peguam dilantik TMJ sedia bantu prosiding kes Bella -

Peguam dilantik TMJ sedia bantu prosiding kes Bella

KUMPULAN peguam pemerhati yang dilantik Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, bagi kes Bella sedia membantu pada prosiding pihak pembelaan, yang dijadualkan bermula 5 Disember depan.

Empat peguam terbabit iaitu Datuk Baljit Singh Sidhu, Datuk Khairul Anwar Rahmat, Datuk Ikbal Salam, Mohd Radzi Yatiman.

Menerusi suatu kenyataan daripada kumpulan peguam berkenaan, dimaklumkan ia susulan Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur memerintahkan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, membela diri atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella, remaja perempuan sindrom Down. 

“Kami menzahirkan penghargaan atas kerjasama semua pihak terutamanya mahkamah, Timbalan Pendakwa Raya dan peguam bela dalam memastikan kelancaran perbicaraan kes adik Bella sehingga akhir kes pendakwaan ini.

“Keutamaan perlu diberikan untuk kes ini memandangkan mangsa, yakni adik Bella tentunya mengalami trauma dari segi fizikal dan emosi lanjutan kecederaan yang dialami. Kami mahu adik Bella ini meneruskan kehidupan baharu secepat mungkin. 

“Sesungguhnya keadilan bagi kes ini perlu diperoleh segera supaya ibu bapa dan atau penjaga khususnya terhadap anak kurang upaya memandang serius terhadap aspek kebajikan anak-anak dalam peliharaan mereka,” katanya memetik BH Online.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini memerintahkan Siti Bainun membela diri atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella.

Hakim Izralizam Sanusi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Siti Bainun, 30, di akhir kes pendakwaan.

Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju, di antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.