Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
'Kita tak tengok wayang, kita bermunajat' - Faizal -

‘Kita tak tengok wayang, kita bermunajat’ – Faizal

“KITA tak tengok wayang. Kita bermunajat, tak makan ‘popcorn’ (bertih jagung).”

Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata demikian dengan nada berseloroh ketika bertegur sapa dengan petugas media yang menunggu berhampiran kediaman Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin, di Bukit Damansara, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Ahmad Faizal tidak memberitahu tujuannya hadir ke kediaman Muhyiddin pada pagi ini.

Beliau yang memandu sendiri kereta jenis Lexus berwarna putih, tiba bersama isterinya, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi, pada jam 9.25 pagi tadi.

Semalam, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berjenaka bahawa beliau mahu keluar menonton wayang, apabila ditanya pemberita ketika meninggalkan kediamannya di Bandar Sungai Long, Kajang, dan sekali lagi ketika beredar dari pejabat beliau di Jalan Gasing, Petaling Jaya.

Malah, Anwar turut memberikan ‘popcorn’ kepada pengamal media yang berkumpul di pekarangan pejabatnya sejak pagi, ketika itu.

Ahmad Faizal secara berseloroh turut meminta pemberita bertanya Anwar mengenai wayang yang ditonton Presiden PKR itu.

“Tanya Anwar, dia tengok wayang cerita apa? Seronok tak?” katanya.

Hari ini, Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu diadakan di Istana Negara sebagai usaha Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, merungkai kemelut pembentukan Kerajaan Persekutuan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadli Shamsuddin, dalam satu kenyataan semalam berkata perbincangan khas itu bertujuan membolehkan Al-Sultan Abdullah mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu dalam membuat keputusan mengenai pelantikan Perdana Menteri ke-10.